Jerman kecam tembakan terhadap pos UNIFIL di Lubnan

Kenderaan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) meronda di Marjeyoun di selatan Lubnan di tengah-tengah perang berterusan antara Hizbullah dan Israel. Foto AFP
Kenderaan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) meronda di Marjeyoun di selatan Lubnan di tengah-tengah perang berterusan antara Hizbullah dan Israel. Foto AFP
A
A
A

BERLIN - Kerajaan Jerman pada Isnin mengkritik tindakan menembak ke arah pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan dan menyeru Israel memberikan penjelasan bagaimana insiden itu berlaku, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Semua pihak yang terlibat dalam konflik, termasuk tentera Israel, wajib mengarahkan aktiviti ketenteraan mereka hanya kepada sasaran ketenteraan pihak lain dalam konflik," kata jurucakap Pejabat Luar Negeri di Berlin.

Jerman sedang menunggu penjelasan penuh dengan segera dan telah berhubung dengan pihak Israel mengenai isu itu, katanya.

Jurucakap itu juga menyatakan bahawa situasi di selatan Lubnan sedang dipantau dengan kebimbangan yang semakin meningkat. Setakat ini, lima anggota pasukan pengaman UNIFIL cedera dan kerosakan yang besar telah berlaku pada kedudukan UNIFIL.

"Tindakan menembak ke arah pasukan pengaman PBB dan memaksa masuk ke pangkalan mereka adalah sama sekali tidak boleh diterima," katanya. Keutamaan tertinggi seharusnya diberikan kepada perlindungan dan keselamatan pasukan PBB, tambahnya.

UNIFIL memantau kawasan sempadan antara Israel dan Lubnan sejak 1978. Lebih 10,000 anggota tentera dari lebih 50 negara, termasuk Jerman, telah dikerahkan dalam misi tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!