OIC kecam serangan Israel di utara Gaza

Orang ramai melarikan diri dari bandar Jabalia di utara Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
Orang ramai melarikan diri dari bandar Jabalia di utara Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

ISTANBUL - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin mengutuk sekeras-kerasnya serangan maut Israel terhadap rakyat Palestin di utara Semenanjung Gaza pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan di utara Gaza pada 6 Oktober di tengah-tengah pengepungan ketat di kawasan itu, mendakwa bahawa serangan berkenaan bertujuan untuk menghalang Hamas daripada berkumpul semula di kawasan tersebut.

Rakyat Palestin mempertikaikan dakwaan Israel, mengatakan serangan maut itu bertujuan untuk memaksa mereka meninggalkan kawasan itu untuk selama-lamanya.

Sepuluh hari selepas serangan itu, lebih 300 orang terbunuh di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran di seluruh kawasan itu, menurut pihak berkuasa Palestin.

Dalam satu kenyataan, OIC menyatakan "kecaman kerasnya terhadap peningkatan berterusan jenayah perang yang dilakukan oleh pendudukan Israel terhadap warga Palestin, terutamanya di utara Semenanjung Gaza."

Blok pan-Islam itu menggelar serangan Israel sebagai "sebahagian daripada percubaan yang bertujuan untuk perpindahan paksa, pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin."

Ia menganggap Israel "bertanggungjawab atas kesinambungan pencerobohan ini dan keganasan terancang yang diamalkan terhadap rakyat Palestin."

OIC juga menggesa untuk mengenakan sekatan ke atas Israel dan mempertanggungjawabkannya "untuk semua jenayah dan pelanggaran yang berterusan."

Artikel Berkaitan:

Organisasi itu juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) "untuk memikul tanggungjawabnya, melaksanakan resolusinya, mengenakan gencatan senjata segera dan menyeluruh dan menamatkan pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan yang dilakukan oleh pendudukan Israel."

Israel telah meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, walaupun resolusi UNSC menggesa gencatan senjata segera. Hampir 42,300 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 98,600 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!