Polis gagalkan cubaan seludup masuk 12 PATI di Padang Besar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Polis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke negara ini dalam dua serbuan di sekitar Padang Besar pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, 10 daripada mereka termasuk tiga wanita berumur 19 hingga 32 tahun ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Kulim di kawasan laluan keselamatan Malaysia-Thailand pada jam 3.30 pagi Jumaat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua warga asing itu dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan tikus di sempadan dengan seorang daripada mereka disyaki bertindak sebagai tekong.

"Tekong berusia 27 tahun itu dipercayai menerima upah kira-kira RM200 bagi setiap individu dan mendapat arahan daripada seorang ejen dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata, lelaki berkenaan ditahan reman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula 12 Oktober lepas manakala sembilan lagi warga Myanmar itu direman di bawah Akta Imigresen hingga 25 Oktober.

Beliau berkata, dua lagi pendatang tanpa izin warga Myanmar masing-masing lelaki berusia 18 tahun dan wanita 30 tahun ditahan sepasukan polis Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA dan PGA Batalion 2 Kulim selepas menahan sebuah kereta di kawasan Kilang Gula Chuping pada 2.20 pagi Sabtu.

"Kereta jenis Nissan Slyphy itu turut dinaiki suami isteri warga Myanmar dan mereka mempunyai pasport. Siasatan awal mendapati suami isteri berusia 28 dan 30 tahun itu dipercayai menjadi pemandu dan mengambil dua warga asing berkenaan untuk dihantar ke negeri jiran.

"Pasangan suami isteri yang disyaki tekong itu menerima upah kira-kira RM500 bagi setiap pendatang asing dan mereka direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) SOSMA bermula 12 Oktober. Dua lagi warga Myanmar itu pula ditahan reman 14 hari di bawah Akta Imigresen hingga 25 Oktober,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dua kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!