Kes Beng Hock: Muhyiddin sangkal dakwaan Ram Karpal

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh yang mendakwa beliau gagal mengarahkan polis membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Menyifatkan dakwaan tersebut cuai dan tidak benar, Muhyiddin sebaliknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Beliau menjelaskan, Kabinet telah memutuskan supaya kes itu dibuka semula ketika Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Dalam Negeri pada 27 Jun 2018.

"Saya juga mengarahkan Ketua Polis Negara supaya mengambil tindakan segera berhubung keputusan tersebut,"ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, susulan arahan tersebut dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 17 Julai 2018, polis telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Deputi Superintendan, Datuk K Manoharan untuk menyiasat semula kes ini.

"Pasukan Petugas Khas ini telah menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut pada 18 Oktober 2018,"ujarnya.

Presiden Bersatu itu berkata, menjelaskan kenyataan beliau bahawa pihak polis sedang menunggu arahan daripada Peguam Negara seperti yang dilaporkan oleh media pada 25 Oktober 2018 adalah merujuk kepada arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kertas siasatan yang telah diserahkan oleh Pasukan Petugas Khas.

"Peguam Negara telah memberikan arahan tertentu kepada Pasukan Petugas Khas pada 17 Disember 2018 dan siasatan masih diteruskan,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ramkarpal dan menganggap tuduhan itu cuai dan tidak benar sama sekali.

"Sebagai Ahli Parlimen kerajaan, beliau sepatutnya lebih cermat dalam membuat sebarang kenyataan terutamanya yang melibatkan anggota pentadbiran kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!