Malaysia perkukuh usaha keselamatan siber serantau semasa pengerusian ASEAN

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

SINGAPURA - Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025, mengesahkan komitmennya untuk memperkukuh integrasi serantau, memerangi ancaman siber, dan mengekalkan peraturan berasaskan multilateralisme di ruang siber, terutama apabila ancaman ini semakin bersifat rentas sempadan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Malaysia juga akan memperhebatkan kerjasama, menyelaraskan usaha global, dan meningkatkan kolaborasi dengan rakan dialog ketika kumpulan serantau itu merangka kitaran lima tahun seterusnya bagi Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN.

"ASEAN telah meletakkan asas kukuh dengan dua fasa Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN (2017-2020 dan 2021-2025).

"Kami juga menantikan pelancaran Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Serantau ASEAN (CERT) yang akan memainkan peranan penting dalam memudahkan pertukaran maklumat yang tepat pada masanya dan menyelaraskan tindak balas kolektif serantau terhadap insiden siber,” katanya pada Isnin malam.

Beliau menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW), anjuran Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA).

CERT Serantau ASEAN, yang bertujuan untuk mempromosikan dan memudahkan perkongsian maklumat berkaitan tindak balas insiden siber serta melengkapi usaha operasi CERT kebangsaan di setiap negara anggota, dijangka dilancarkan pada SICW minggu ini.

Gobind berkata, akhirnya negara ASEAN bersatu dengan matlamat bersama untuk membina ekosistem digital yang dipercayai, yang memberi manfaat kepada semua. Melalui inisiatif bersama, pengetahuan yang dikongsi dan rangka kerja kolaboratif, kumpulan itu mengukuhkan keselamatan siber serantau dan tadbir urus data.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan sekadar komitmen di atas kertas; ia adalah usaha kolektif yang nyata untuk melindungi rakyat kita, memastikan infrastruktur kita selamat dan menggalakkan inovasi,” katanya.

Menteri itu berkata, bahawa kerajaan ASEAN mesti bersedia menghadapi cabaran dan ancaman teknologi generasi akan datang dengan memastikan sistem infrastruktur maklumat kritikal dilengkapi langkah-langkah untuk mengurangkan risiko ini.

Sementara itu, Gobind menekankan bahawa sektor keselamatan siber global menghadapi kekurangan 4.8 juta tenaga kerja yang semakin meningkat.

"Dengan ijazah sarjana muda tradisional mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk disiapkan, jurang ini semakin meluas lebih cepat daripada yang dapat diisi.

Untuk merapatkan kemahiran keselamatan siber dan jurang penguatkuasaan, beliau menekankan keperluan untuk membangunkan perantisan digital dan memupuk bakat mahir dalam tenaga kerja siber.

"Bayangkan menyediakan peluang latihan berbayar kepada graduan sekolah menengah di syarikat teknologi yang dahagakan bakat dan melakukannya secara berskala.

"Ini boleh mencipta laluan kerjaya alternatif yang baharu dan kos efektif untuk bakat...Ini adalah bidang yang perlu kita pertimbangkan, terutamanya berkaitan bakat dalam keselamatan siber,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!