Demi gembirakan 'anak syurga', bapa bawa sertai aktiviti lasak setiap kali hari lahir
SHAH ALAM - Mempunyai cahaya mata menghidapi penyakit Cerebral Palsy Quadriplegia yang mana terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada penjaga tidak menghalang seorang bapa membawa 'anak syurga' itu menyertai aktiviti lasak.
Menurut Wira Sudepja Rabu, 49, bahkan setiap tahun pada bulan September dia akan menyambut hari lahir anaknya, Nur Wadihan,16 dengan menyertai misi kayuhan ketempat yang mencabar.
Katanya, antara aktiviti berbasikal yang telah disertai mereka adalah berbasikal Bukit Fraser, menjelajah bukit seperti Bukit Miku Negeri Sembilan; Bukit Sungai Como, Terengganu; Gunung Jerai, Kedah dan penutup di Bukit Wang Kelian Perlis selain menyertai Half Marathon 21 kilometer.
"Tahun ini adalah tahun ke sepuluh sertai aktiviti larian dan berbasikal. Sememangnya setiap minggu kami bersama kelab Bikeisable sebagai salah satu sistem sokongan untuk komuniti.
"Saya suka bawa Dihan keluar hanya untuk mengembirakan dia. Hidup ini satu medan ujian, setiap kita ada bahagian masing-masing," ujarnya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, dari kecil hingga umur enam tahun, anaknya hanya menghabiskan masa di hospital.
Jelas beliau, ketika itu anaknya kerap ditahan di wad kerana penyakit yang dihadapi.
"Setelah kesihatan agak stabil, saya cuba bawa keluar dan beriadah. Hingga satu hari berselisih dengan kumpulan berbasikal dan Dihan ketawa.
"Ini menjadi pencetus kami berbasikal dan kemudian berlari. Hari ini ia sudah menjadi rutin kami sekeluarga.
Wira Sudepja turut berkongsi bahawa anaknya akan terlantar seperti bayi berusia empat bulan sepanjang hayat.
"Oleh itu, hargai setiap detik yang ada bersama anak syurga kerana kita tidak tahu berapa lama yang kita ada.
"Moto kami hidup bukan sekadar bertahan hidup, hidup anak syurga luar biasa,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!