Pastikan institusi kehakiman bebas politik - Rasuah Busters

Nurhayati
Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters mengingatkan supaya politik tidak diheret dalam institusi kehakiman bagi memastikan badan itu kekal bebas dari tekanan luar.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, Rasuah Busters berpegang kepada perkara terbabit dan menjamin sokongan sepenuhnya kepada segala iltizam dan usaha kerajaan untuk mengukuhkan institusi kehakiman.

Kata beliau, sokongan terbabit akan diberikan selagi mana ia tidak mencabul hak-hak rakyat yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia.

“Tidak kira sama ada mereka itu adalah parti politik berbeza, kaya miskin, muda atau tua, di bandar atau pedalaman, sistem keadilan yang telus dan adil adalah hak mereka.

“Kita mahukan institusi kehakiman yang adil dan inklusif dengan wujudnya pembaharuan terhadap sistem perundangan dan kehakiman,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Nurhayati berkata, pihaknya mengulangi pendirian NGO itu bahawa mereka mahukan badan kehakiman yang bebas berintegriti dan paling penting telus.

“Jika tidak, saya rasa ia gagal mencerminkan reformasi yang sebenarnya diharapkan. Pada penghujungnya yang kita sasarkan adalah satu kesaksamaan, kezaliman dapat dielakkan dan tanggungjawab kita semua sebagai anggota masyarakat tetap teguh terlaksana.

“Kita laksanakan dengan penuh integriti demi kesejahteraan, kebaikan diri, keluarga, agama dan juga negara yang dicintai,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, pihaknya menyokong iltizam oleh kerajaan untuk mengukuhkan institusi kehakiman secara khusus yang mana ia antara manifesto penting dibawa kerajaan pada hari ini namun garis masa melaksanakan reformasi dijanjikan juga harus jelas.

Sehubungan itu, Nurhayati berkata, Rasuah Busters mencadangkan penambahbaikan proses pelantikan hakim di Malaysia pada waktu ini dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat kerajaan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya percaya proses pelantikan hakim mempunyai kelemahan yang masih boleh diperbaiki.

“Saya tidak hanya menyatakan perkara ini untuk merespons apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri tapi sebenarnya pernah dikemukakan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 2022 yang turut mencadangkan agar anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak perlu dibuat oleh Perdana Menteri untuk memastikan ia bebas dalam melaksanakan tanggungjawab pelantikan hakim,” ulasnya.

Nurhayati berpandangan, pelantikan ahli JAC dari institusi lain juga dapat memastikan ia tidak merefleksi kepentingan mana-mana pihak, sekali gus diyakini menjamin pelantikan hakim-hakim di negara ini adalah dalam kalangan individu keperibadian baik, telus dan adil.

Beliau melihat, dengan ini, JAC dapat mengemukakan nama-nama cadangan hakim berwibawa dan berintegriti dengan struktur JAC ini juga boleh dinilai semula melalui rundingan ataupun perbincangan yang turut melibatkan keanggotaan oleh kerajaan sendiri, yang mungkin boleh dicadangkan mana-mana pihak relevan dalam menentukan pelantikan hakim.

“Dalam ketelusan dan ketulusan melaksanakan demokrasi berdasarkan prinsip doktrin pemisahan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia, keadilan tidak boleh dikompromi, apatah lagi terbuka untuk dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan politik.

“Jangan heret politik dalam institusi kehakiman, ia perlu bebas, bersih dan jadi benteng terakhir keadilan yang harus dipertahankan habis-habisan,” tambahnya

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang perlu kekal menjadi keutamaan dalam menegakkan keadilan tanpa takut atau pilih kasih.

Anwar yang berucap merasmikan Persidangan LAWASIA ke-37 di Kuala Lumpur berkata, kebebasan kehakiman berlandaskan doktrin pemisahan kuasa, termaktub sebagai prinsip dalam struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!