Antara hutang negara dan pengaruh diplomatik Anwar
LAPORAN mengenai peningkatan hutang kerajaan Persekutuan merupakan antara perkara yang menjadi tumpuan pada Isnin apabila sebanyak RM1.173 trilion direkodkan pada tahun 2023, meningkat sebanyak RM92.918 bilion atau 8.6 peratus berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM1.080 trilion.
Perkembangan itu dijangka menimbulkan pelbagai reaksi, lebih-lebih lagi dalam keadaan Dewan Rakyat yang sudah mula bersidang serta menjelang pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat ini.
Antara lain, Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 itu juga mungkin dijadikan sebagai indikator pentadbiran Kerajaan Madani bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, hutang itu terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trilion atau 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Hutang Persekutuan dan Hutang Luar Negeri berjumlah RM29.851 bilion atau 2.5 peratus.
Pinjaman Dalam Negeri mencatatkan peningkatan sejumlah RM92.580 bilion atau 8.8 peratus, manakala Hutang Luar Negeri meningkat sejumlah RM0.338 bilion atau 1.1 peratus.
Justeru, menjadi cabaran buat kerajaan dalam memastikan Kedudukan Liabiliti Persekutuan berada pada tahap lebih baik bagi penilaian prestasi akan datang.
Ini kerana, Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 turut merumuskan, kerajaan Persekutuan hendaklah memberi perhatian serius terhadap pinjaman baharu.
Langkah itu bagi memberi tumpuan kepada membiayai bayaran balik pinjaman yang akan matang memandangkan kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan bagi melunaskan pinjaman yang akan matang sejumlah RM773.750 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Bagaimanapun di sebalik laporan kurang enak didengar itu, Malaysia merekodkan pencapaian positif apabila diiktiraf sebagai satu daripada dua negara yang menyaksikan peningkatan pengaruh diplomatik terbesar.
Perkembangan tersebut adalah berdasarkan Laporan Penemuan Utama Lowy Institute 2024 yang menyatakan Anwar jauh lebih aktif di peringkat antarabangsa.
Bersama menteri luar, Anwar dilapor telah mengadakan 72 mesyuarat dua hala dengan negara dalam Index, meningkatkan kedudukan Malaysia daripada tempat ke-11 ke tempat ke-5 dalam indikator aktiviti diplomatik.
Bahkan, menurut laporan itu lagi, kedudukan Malaysia untuk kepimpinan serantau juga meningkat dua anak tangga ke kedudukan ke-12 dan kepimpinan global naik satu tempat iaitu ranking ke-15.
Nampaknya, setelah dua tahun, lebih banyak laporan prestasi kerajaan akan terus dinilai oleh rakyat secara amnya dan pemimpin pembangkang khususnya.
Kepercayaan rakyat selepas ini dijangka bersandarkan kepada setiap perubahan angka dan kedudukan, sama ada meningkat atau menurun, tidak hanya dengan persepsi semata-mata.
Ini penting dalam menentukan nasib Kerajaan Perpaduan pada penggal pemerintahan akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!