Persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 tumpuan Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR - Persiapan serta hala tuju Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 terutama dalam konteks ekonomi dan cabaran geopolitik semasa, antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara berkenaan dikemukakan oleh Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Amirudin juga ingin tahun mengenai hasil lawatan Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 pada 8 hingga 11 Oktober lepas.
Pada sesi sama, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap agensi berita antarabangsa berhubung dakwaan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hingga mencemarkan imej beliau dalam usaha memerangi salah guna kuasa dan rasuah.
Turut menarik perhatian, pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada sesi soal jawab lisan yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan perancangan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan dalam sektor berkemahiran tinggi bagi menyerap peningkatan bilangan individu berkelulusan tinggi yang memasuki pasaran pekerjaan.
Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan dua rang undang-undang bagi bacaan kali pertama iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 oleh Menteri Kewangan dan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 oleh Menteri Sumber Manusia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula akan mencadangkan supaya Dewan Rakyat menyokong kerajaan agar dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan syor yang terkandung dalam laporan itu dapat diambil tindakan dengan serius oleh pihak terlibat untuk mengatasi kelemahan.
Seterusnya Dewan Rakyat akan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Disember depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!