YB terperangkap banjir, sidang Dewan Rakyat tangguh setengah jam
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula jam 10 pagi terpaksa ditangguhkan ke jam 10.30 pagi gara-gara ada sebahagian ahli Parlimen terperangkap banjir.
Difahamkan, beberapa laluan menuju ke bangunan Parlimen dinaiki air kerana hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan ada kenderaan yang terperangkap.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, keputusan menangguhkan persidangan itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 12 (2).
“Di luar sana, hujan terlalu lebat dan beberapa jalan telah pun naik air. Ramai Yang Berhormat (YB) telah terperangkap dalam banjir tersebut.
“Oleh yang demikian, saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 12 (2) untuk menangguhkan mesyuarat ini sehingga 10.30 pagi,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata, penangguhan persidangan disebabkan banjir adalah kali pertama pernah berlaku.
“Dewan Rakyat ditangguh 30 minit pagi ini disebabkan hujan lebat, ramai ahli Parlimen tersangkut dalam banjir kilat. Speaker tangguhkan hingga 10.30 pagi.
“Kali pertama berlaku seingatan saya. Sebelum ini penangguhan bila berlaku pertelingkahan yang sukar dikawal oleh Speaker,” jelasnya.
@sinarharianonline Tular rakaman video memaparkan Jalan Parlimen menuju ke Bukit Aman dinaiki air susulan hujan lebat melanda ibu negara sejak awal pagi tadi. Menerusi video terbabit, sebuah kereta dilihat tersangkut di tengah-tengah jalan ekoran banjir kilat dan beberapa penunggang motosikal turut berteduh di pondok bas kerana jalan sudah dinaiki air. #fyp #SinarHarian #Banjir #JalanParlimen #HujanLebat #KualaLumpur
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!