Agong, Permaisuri berangkat pulang ke tanah air dari Brunei

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berangkat pulang ke tanah air hari ini selepas mengakhiri Lawatan Negara tiga hari ke Brunei. Foto Instagram @officialsultanibrahim
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berangkat pulang ke tanah air hari ini selepas mengakhiri Lawatan Negara tiga hari ke Brunei. Foto Instagram @officialsultanibrahim
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berangkat pulang ke tanah air hari ini selepas mengakhiri lawatan negara tiga hari ke Brunei.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memandu sendiri kenderaan khas membawa Sultan Ibrahim ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, pagi ini.

Sejurus tiba kira-kira jam 9.15 pagi, Seri Paduka Baginda berdua melintasi kawalan kehormatan statik daripada Rejimen Pengawal Diraja, Tentera Darat Diraja Brunei sebelum menaiki pesawat khas yang kemudian berlepas pada jam 9.31 pagi.

Turut berangkat pulang ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir mengiringi keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda berdua di lapangan terbang itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Mohd Aini Atan.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah tiba di Bandar Seri Begawan pada Ahad bersempena dengan lawatan negara pertama ke Brunei, sejak menaiki takhta pada Januari.

Seri Paduka Baginda berdua memulakan lawatan dengan bertemu rakyat Malaysia di Brunei pada Majlis Santap Petang di sini Ahad lepas.

Semalam, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah diberi sambutan negara di Istana Nurul Iman di sini, istana terbesar di dunia dengan keluasan 200,000 meter persegi yang terpahat dalam Guinness Book of Records.

Artikel Berkaitan:

Pada sebelah malam, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha meraikan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada Majlis Santapan Negara di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.

Terdahulu, Raja Zarith Sofiah turut mencemar duli melawat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Kampus Gadong di sini dan menyempurnakan pelancaran Sudut Buku Malaysia, yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia.

Kunjungan Seri Paduka Baginda berdua yang dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei, akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.

Selepas Singapura dan China, Brunei merupakan negara ketiga dalam lawatan negara Sultan Ibrahim sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Julai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!