Dokumen kes lelaki cuba bunuh isteri di KLIA diserah, sebutan semula 26 November

Mahkamah Seksyen Sepang menetapkan kes Hafizul Hawari yang didakwa cuba membunuh isterinya disebut semula pada 26 November. Foto Bernama
Mahkamah Seksyen Sepang menetapkan kes Hafizul Hawari yang didakwa cuba membunuh isterinya disebut semula pada 26 November. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Mahkamah Seksyen Sepang menetapkan kes terhadap pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari yang didakwa cuba membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu, disebut semula pada 26 November.

Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam yang mewakili Hafizul, Nik Azim Azlan memohon untuk meneliti dokumen termasuk laporan kimia yang diserahkan pihak pendakwaan hari ini.

"Meminta tarikh untuk penelitian dokumen untuk melihat sama ada lengkap atau tidak dokumen-dokumen tersebut,” katanya pada sebutan kes itu di sini hari ini.

Pada 25 April, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 1.09 pagi, 14 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!