Penerbitan kandungan media sosial perlu beretika
KUALA LUMPUR - Seiring dengan kemajuan teknologi dan peningkatan yang mendesak bagi penggunaan pelbagai aplikasi di pelantar media sosial dalam kalangan masyarakat, peranan pencipta kandungan dilihat amat penting.
Selain dapat berkongsi pelbagai informasi dan menyebarluas maklumat, pencipta kandungan juga berperanan untuk membina idea dan membentuk pandangan dan sikap masyarakat.
Oleh itu, atas keperluan untuk melahirkan lebih ramai Pencipta Kandungan yang versatil dan berwibawa, IPPTAR telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kursus Keberkesanan Penerbitan Kandungan Media Sosial - TikTok pada 26 dan 27 September 2024 di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, IPPTAR.
Koordinator Latihan IPPTAR, Razilla Nazaran menjelaskan, untuk melahirkan pencipta kandungan yang berkualiti memerlukan ilmu, kemahiran dan perancangan betul serta teliti bagi menghasilkan kandungan yang menarik, relevan dan dapat memberikan pengaruh positif kepada masyarakat.
“Pencipta kandungan seharusnya mempunyai etika dan nilai baik dalam menentukan hala tuju kandungan yang diterbitkan.
“Ini penting supaya masyarakat mendapat faedah dan manfaat melalui penerbitan kandungan yang positif dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi di Malaysia,” katanya.
Seramai 25 penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi telah menyertai kursus dua hari berkenaan.
Mereka didedahkan secara teori dan amali oleh dua tenaga pengajar dari Saiful Nang Academy iaitu Nik Harraz (YouTuber RareTV) dan Aniq Aziz (penyunting visual untuk RareTV).
Nik Harraz yang berpengalaman luas dalam bidang fotografi dan videografi menegaskan setiap pengguna TikTok perlu sentiasa mengamalkan konsep latihan berterusan untuk menjadikan mereka sebagai penerbit kandungan yang mahir.
“Kita tidak akan menjadi sempurna dan mahir ddalam sesuatu perkara jika tidak mendapat latihan dan kemahiran yang betul.
“Ilmu tanpa diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah. Setiap ilmu dan kemahiran perlu dipraktikkan bagi mendapatkan hasil yang baik.
“Kita tidak akan belajar jika tidak melakukan kesilapan, dari kesilapan itulah kita dapat memperbaiki kelemahan dalam penerbitan kandungan media sosial khususnya proses merakam dan menyunting foto atau visual,” ujar beliau.
Menuurt salah seorang peserta kursus ini, Zulika Zainuddin, untuk menjadi pencipta kandungan yang efisien, setiap kemahiran perlu diasah.
“Ia memerlukan kesabaran bagi menghasilkan kandungan yang baik melibatkan penerbitan video dan merakam foto menarik.
“Kandungan yang jelas dan berinformasi disertakan dengan penghasilan video serta gambar cantik akan memberikan impak positif pada pencipta kandungan, termasuk mampu menarik jumlah khalayak atau pengikut mahupun tontonan yang ramai,” katanya.
Jelasnya lagi, kursus selama dua hari itu memberi peluang kepada para peserta tentang kaedah yang betul untuk mencipta kreativiti melalui teknik rakaman video dan gambar menarik.
“Ia bukanlah semudah menekan butang rakam, ia memerlukan kemahiran dan perancangan yang teliti bagi menghasilkan kandungan berimpak tinggi. Foto bangunan yang nampak biasa akan kelihatan lebih menarik apabila dirakam melalui teknik betul,” jelas Zulika.
Pandangan Zulika itu juga disambut baik oleh seorang lagi peserta kursus ini. Aslinda Tahsim yang merupakan kakitangan Kerajaan Negeri Selangor menyatakan kursus seumpama ini sangat bermanfaat.
Ujar beliau, selain boleh mempraktikkan kemahiran yang diajar oleh tenaga pengajar, para peserta juga dapat bertukar-tukar pandangan demi kepentingan kerjaya masing-masing.
“Ini adalah antara kursus terbaik yang saya pernah sertai. Ia sangat memberi manfaat kepada saya untuk memahirkan diri tentang bagaimana untuk menerbitkan kandungan kandungan media sosial seperti foto dan video yang menarik.
“Pencipta kandungan juga seharusnya mempunyai etika dan nilai yang baik dalam menentukan hala tuju kandungan media sosial terbitan mereka. Ini penting supaya masyarakat mendapat faedah dan manfaat melalui kandungan yang berkualiti,” tegas Aslinda.
Bagi Ha Yu Hang yang merupakan kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kursus Keberkesanan Penerbitan Kandungan Media Sosial – TikTok ini memberi banyak ilmu baru kepada beliau.
“Kursus-kursus anjuran IPPTAR mengikut keperluan semasa, jadi amat rugi kepada penjawat awam atau swasta jika tidak menyertai kursus-kursus yang ditawarkan. Sewajarnya kursus seperti ini dapat diadakan lagi untuk masa akan dating.
“Selain yuran penyertaan serendah RM30 bagi setiap kursus, tenaga pengajar atau panel yang dijemput sangat berkaliber dan mempunyai pengetahuan yang luas serta berpengalaman. Saya berharap agar dapat menyertai kursus-kursus lain anjuran IPPTAR di masa akan datang,” jelas Yu Hang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!