Bomba terima laporan dua lokasi banjir di Ampang

Kejadian banjir dilaporkan di Ukay Perdana di sini pada Selasa.
Kejadian banjir dilaporkan di Ukay Perdana di sini pada Selasa.
A
A
A

AMPANG - Sebanyak 10 buah kereta terkandas dalam banjir yang dilaporkan di Ukay Perdana di sini pada Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 10.12 pagi.

"Sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Mukhlis berkata, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ameran Muda melaporkan banjir disebabkan limpahan air sungai yang berdekatan telah masuk ke kawasan perumahan.

"Kejadian itu melibatkan 10 buah kereta terkandas dalam banjir. Paras air dianggarkan 0.3048 meter," katanya.

Dalam kejadian berasingan, Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian banjir di kawasan parkir sebuah kondominium Ukay Bistari pada jam 9.52 pagi.

"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Ampang bergegas ke lokasi kejadian.

"Banjir itu disebabkan takungan air hujan di kawasan parkir, kedua-dua kejadian itu tidak melibatkan mangsa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:


Ampang, Wangsa Maju terjejas akibat banjir

KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan sekitar Setiawangsa, Wangsa Maju, Taman Keramat, Ulu Kelang dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dinaiki air akibat hujan lebat sejak jam 9 pagi Selasa.

Kejadian banjir dikesan berlaku di Jalan AU3 dan Jalan AU2, Taman Keramat; Lebuhraya MRR2 berhampiran Ulu Kelang dan kawasan Ulu Kelang.

Banjir dipercayai berlaku akibat limpahan air dari Sungai Kelang, bersebelahan MRR2.

Kesesakan teruk berlaku selepas sebahagian besar pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan mereka daripada melalui arus banjir.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dilihat mengawasi laluan yang dinaiki air selain memberikan amaran banjir kepada penduduk di kawasan perumahan berhampiran.

Sementara itu, di Jalan Seksyen 5, Wangsa Maju, di sini, kejadian pokok tumbang dikesan berlaku di laluan dari arah Jalan AU3 menuju ke arah Wangsa Maju.

Satu laluan utama berhampiran Kompleks Sukan Setiawangsa terpaksa ditutup selepas kejadian pokok tumbang.

Tiga anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Setiawangsa, bertindak pantas menutup laluan bagi mengelak kejadian lebih buruk.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian turut melihat ketiga-tiga anggota terbabit saling bantu-membantu memotong dahan pokok berkenaan dalam keadaan hujan lebat di samping mengawasi aliran trafik.

Tindakan pemotongan pokok dilakukan untuk mengalihkan sebahagian dahan pokok yang tumbang bagi membolehkan laluan itu digunakan sepenuhnya sebelum bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tiba di lokasi.

Sementara itu, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di Bukit Dinding, Setiawangsa, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setiawangsa, serta kawasan berbukit di Taman Melawati.

Pada masa ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Kuala Lumpur, sudah dihubungi bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi banjir kilat dan pokok tumbang.


Hujan lebat: MBSA pantau paras air di kawasan titik panas

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus memantau pengoperasian pam air dan kolam takungan di bawah seliaannya berikutan hujan lebat sehingga berlaku banjir kilat di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang pada Selasa.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan, anggota pasukan Pantas MBSA telah dihantar untuk melakukan pemantauan di kawasan titik panas banjir iaitu di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

"Berikutan hujan lebat di Shah Alam, anggota Pantas MBSA telah melakukan pemantauan di lokasi panas banjir di kunci air Taman Sri Muda, Seksyen 25.

"Paras air masih dalam keadaan terkawal," menurut hantaran MBSA di laman media sosialnya pada Selasa.

MBSA menambah, orang ramai boleh menghubungi pasukan Pantas di talian 03-55105811 sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan bantuan segera akibat banjir di Shah Alam.

Terdahulu, media melaporkan beberapa jalan utama menuju ke pusat bandar di ibu negara terhalang selepas dilanda banjir kilat pada pagi Selasa.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, trafik bergerak perlahan di Kilometer 6.3 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) arah selatan dari Bandar Utama ke Taman Tun Dr Ismail.

Ia selepas laluan susur masuk dua lorong terpaksa ditutup sementara selepas dinaiki air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!