[VIDEO] Malaysia terus bantah jika perairan digunakan tanpa izin - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus menegur dan membantah sekiranya perairan negara digunakan sebagai laluan pertahanan tanpa izin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut menegaskan pendirian tersebut menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27 pada Khamis.

Menurut beliau, segala pertikaian perlu melalui rundingan atau dialog seperti yang termaktub dalam perjanjian maritim antarabangsa Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Ia kerana perjanjian PBB itu mengikat semua dan saya lihat reaksi daripada negara China adalah bersetuju (dengan) penyelesaian mengikut kerangka UNCLOS,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang memohon penjelasan berhubung gesaan ASEAN untuk rumusan awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan isu kebocoran maklumat membabitkan Nota Diplomatik dari Republik Rakyat China (PRC) kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Menurut Anwar, meskipun mengamalkan prinsip jalin kerjasama dengan rakan dialog ASEAN namun, Malaysia kekal tidak berganjak dari tuntutan dan pendirian tentang kawasan milik negara.

“Sebab itu penerusan cari gali milik oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) termasuk di kawasan Kasawari tetap diteruskan walaupun dibangkitkan oleh negara China.

“Kita kata akan teruskan tetapi tidak pernah menutup ruang untuk berbincang dengan mana-mana negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!