Kerajaan sasar 500,000 peluang kerja baharu dalam ekonomi digital

Pembangunan pusat data akan menghasilkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan. Foto hiasan
Pembangunan pusat data akan menghasilkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi digital terutamanya saintis data bagi industri pusat data yang akan menyokong pelaburan oleh penyedia perkhidmatan awan utama seperti Amazon Web Services, Microsoft, Nvidia dan Google.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pembangunan pusat data akan menghasilkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan trend semasa dapat dioptimumkan dan pasaran pekerjaan yang lebih mampan.

“Kerajaan percaya pelaksanaan pelbagai strategi dan inisiatif yang disebutkan akan memangkin pertumbuhan dalam sektor berkemahiran tinggi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada individu berkelulusan tinggi.

“Ini akan memastikan sasaran komposisi pekerjaan mahir mencapai 35 peratus pada tahun 2025 selaras dengan aspirasi mencapai negara berpendapatan tinggi,” katanya sesi soalan lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) tentang rancangan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan dalam sektor berkemahiran tinggi bagi menyerap peningkatan bilangan individu berkelulusan tinggi yang memasuki pasaran pekerjaan dan memastikan peluang pekerjaan yang mapan untuk generasi akan datang.

Tambah Hanifah Hajar, kerajaan komited bagi mewujudkan peluang pekerjaan mahir untuk diisi oleh bakat tempatan.

Jelasnya, ini kerana Malaysia perlu merancakkan pertumbuhan industri utama untuk memastikan pewujudan pekerjaan mahir dan pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri serta peningkatan bilangan individu berkelulusan tinggi yang memasuki pasaran pekerjaan.

“Dalam hal ini, terdapat keperluan untuk intervensi dilakukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi seperti yang telah dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kedua Belas.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, kerajaan menyasarkan sebanyak 30,000 pewujudan peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa, 6,000 dalam industri logistik dan 2,844 dalam perkhidmatan global,” katanya.

Ujar beliau, pada April 2024, kerajaan telah meluncurkan Pelan Tindakan KL20 bagi mewujudkan ekosistem syarikat pemula yang berdaya saing serta mengukuhkan jaringan kolaborasi dengan pelabur berpotensi dari dalam dan luar negara.

Inisiatif berkenaan dijangka berupaya memposisikan Kuala Lumpur di kedudukan 20 teratas dalam ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030 dan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan mahir kepada bakat tempatan.

Ekosistem modal teroka juga akan diperkukuh bagi menggalakkan keusahawanan dan inovasi seterusnya mewujudkan ekosistem dinamik serta peningkatan daya saing global.

“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga, NETR mengunjurkan 310,000 penciptaan pekerjaan menjelang tahun 2050 merentasi enam pemacu peralihan tenaga.

"NETR juga menggariskan inisiatif pembangunan kapasiti melalui pembangunan taksonomi kemahiran hijau, program reskill dan upskill serta kerjasama strategik bersama universiti tempatan dalam bidang peralihan tenaga.

“Selain itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, NIMP 2030 bertujuan untuk memperkukuhkan sektor pembuatan mensasarkan pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam kategori mahir serta gaji penengah setinggi RM4,510 sebulan bagi pekerja dalam sektor pembuatan.

“Sasaran ini akan dicapai antaranya melalui strategi memajukan kompleksiti ekonomi dan menyegerakan pendigitalan dalam sektor pembuatan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!