Pesawah Kelantan mahu harga lantai belian padi dinaikkan RM1,600 per tan
BACHOK - Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (Pesak) mencadangkan kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,600 satu tan bagi membantu petani menampung kenaikan kos modal penanaman.
Pengerusi Pesak, Zuha Ismail berkata, harga lantai RM1,300 setiap tan yang ditetapkan oleh kerajaan sejak tahun lalu sudah tidak relevan kerana kos termasuk harga benih, baja, belanja membajak, tenaga kerja dan sewa tanah semakin meningkat.
“Kos modal penanaman dan penghasilan padi ditanggung oleh petani dianggarkan sejumlah RM5,580 sehektar dan dengan harga belian RM1,300, petani hanya dapat sekadar lepas modal sahaja.
“Itu belum lagi dikira benih padi yang meningkat daripada RM30 kepada RM58 bagi 20 kilogram termasuk subsidi, juga ditanggung oleh kami,” katanya semasa ditemui pemberita pada perhimpunan aman bersama kira-kira 30 pesawah di Kampung Kubang Telaga, di sini, pada Selasa.
Zuha berkata, petani hanya bergantung dan menikmati subsidi harga jualan padi RM1,250 sehektar yang diberikan oleh kerajaan.
“Itulah sahaja pendapatan yang digunakan untuk perbelanjaan kehidupan para petani,” kata beliau.
Pesawah, Siti Rogayah Awang Man, 51, berkata, sebelum ini dia boleh menyimpan hasil tanam padi antara RM4,000 hingga RM5,000 semusim.
Namun, ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, selepas 2020 dia hanya menambah hutang.
Siti Rogayah yang mengusahakan tanaman padi di atas tanah seluas 1.2 hektar di Kampung Kubang Telaga berkata, terpaksa membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM10,000 bagi penanaman satu musim pada Mei lalu.
“Bagi menampung belanja harian, saya terpaksa mengambil upah menoreh getah, buat ketupat dan membantu memasak di kenduri,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pesawah, Noor Azmi Che Ya, 48, berharap pihak kerajaan segera mengambil perhatian isu berkenaan bagi menggelak lebih ramai petani bertukar tanaman.
“Sekarang sudah ramai yang menggali bendang mereka untuk membina batas bagi menukar kepada tanaman sawit.
“Tidak mustahil, jika masalah melibatkan petani ini berterusan akan menyebabkan bekalan padi negara berkurangan dan semakin lama semakin tidak ada orang yang menanam padi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!