Pelepasan air di empangan Chenderoh terkawal
KUALA KANGSAR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bahawa pelepasan air dari empangan Chenderoh di sini, dilakukan secara terkawal.
TNB dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, pihaknya sedia maklum mesej yang sedang tular mengenai pelepasan air dari empangan berkenaan dan kenaikan paras air Sungai Perak.
Jelasnya, pelepasan air terkawal perlu dilakukan bagi mengimbangi kadar kemasukan dan pelepasan air ekoran kenaikan paras air berikutan hujan yang berterusan di kawasan tadahan yang luas.
"TNB bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan proses pelepasan air secara terkawal dan terancang dapat dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan orang ramai.
"Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak lengkap yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan orang awam," katanya di sini pada Selasa.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi TNB dengan mengirim mesej di Facebook TNB CareLine atau aplikasi X @Tenaga_Nasional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!