Bapa bimbang status warganegara anak
GEORGE TOWN - Seorang bapa bimbang dengan masa depan anak lelakinya apabila tidak mendapat status kewarganegaraan selepas dia dan isteri gagal untuk mendaftar perkahwinan sebelum anaknya dilahirkan.
Pekerja kontrak, Sim Kok Wah, 50, berkata, anaknya Sim Kheng Chye, 12, kini hanya bergantung kepada pas pelajar yang dikeluarkan setiap hujung tahun untuk membolehkan dia bersekolah dan menetap di negara ini.
Menurutnya, masalah itu timbul selepas isterinya, Buaphad Hong, 46, gagal untuk mendapatkan pengesahan perceraian perkahwinan pertamanya dahulu yang didaftarkan di Thailand dan juga Malaysia.
"Isteri saya merupakan warganegara Thailand dan diisytihar bankrap selepas menjadi penjamin kepada bekas suaminya yang merupakan warga tempatan. Perkahwinan mereka dahulu didaftarkan di Thailand dan Malaysia.
"Selepas bercerai, isteri saya diisytihar bankrap kerana bekas suaminya gagal membayar hutang kenderaan bernilai RM28,000 menyebabkan dia gagal untuk ke negara asalnya untuk memperolehi pengesahan perceraian," katanya ketika ditemui di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Kok Wah menambah, pengesahan perceraian itu diperlukan untuk membolehkan mereka berkahwin di negara ini.
"Pada 2011, isteri saya telah hamil dan ketika itu, kami belum mendaftar perkahwinan. Oleh itu, isteri ke Jabatan Insolvensi Malaysia untuk mendapatkan kebenaran pulang ke Thailand bagi pengesahan perceraian untuk diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Bagaimanapun, isteri saya dihalang dengan alasan telah diisytihar bankrap. Anak saya kemudiannya lahir pada 28 Mac 2012 dan mendapat sijil lahir namun statusnya bukan warganegara Malaysia," jelasnya.
Dia berkata, isterinya hanya memperolehi kebenaran pulang ke Thailand untuk mendapatkan pengesahan perceraian pada 2013, iaitu setahun selepas anak mereka dilahirkan.
"Anak saya masih gagal untuk mendapatkan status warganegara walaupun status kami sudah berkahwin. Kami sudah beberapa kali memohon kepada JPN namun ditolak tanpa alasan.
"Sehingga kini, anak saya hanya bergantung kepada pas pelajar untuk berada dan bersekolah di negara ini. Apa yang membimbangkan saya, apa akan jadi sekiranya dia tamat sekolah nanti? Sampai bila dia akan berstatus bukan warganegara?" katanya lagi.
Tambah Kok Wah, sekiranya anaknya itu tidak layak untuk mendapat status warganegara, ia sudah memadai jika hanya diberi status penduduk tetap (PR).
"Anak saya mempunyai pasport Thailand untuk membolehkan dia memperoleh pas pelajar bagi meneruskan persekolahan di sini. Persoalannya, sampai bila dia hanya bergantung kepada pasport Thailand?
"Oleh itu, saya mohon penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri alasan permohonan mendapatkan warganegara bagi anak saya ditolak. Saya juga akan membuat permohonan untuk mendapatkan PR di Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pasukan Media Sosial Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi Ghee Oon berkata, pihaknya akan membawa Kok Wah ke JPN secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!