Nahas pelajar UiTM: Pemandu wanita diarah jalani pemeriksaan mental

Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu, didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa.
Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu, didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemandu wanita yang merempuh empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun sehingga menyebabkan tiga daripadanya terkorban diarah menjalani pemeriksaan mental.

Tertuduh, Norizan Ismail, 49, yang berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh berpakaian lokap berwarna oren tiba di mahkamah itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Wanita tersebut didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang lagi pelajar universiti itu dalam kejadian yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, jam 7.35 malam di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun pada 9 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan dan pemerhatian mental selama sebulan di Hospital Permai, Johor serta menetapkan 18 November depan bagi sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim dan tertuduh diwakili peguam Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Sebelum ini, wanita tiga anak itu ditahan reman bermula Khamis lalu dan berakhir pada Selasa.

Dalam kejadian pada Rabu minggu lalu, wanita tersebut yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.

Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun serta Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Selain itu, Muhammad Ammar Danish yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Dungun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!