Tujuh ‘abang burger’ jalanan warga asing kena cekup
JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan tujuh penjaja warga asing hasil serbuan ke lima gerai burger jalanan di sekitar bandar raya ini pada Ahad.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kesemua mereka ditahan hasil maklumat yang diterima berhubung laporan warga asing didakwa berniaga tanpa pas dan permit yang sah.
“Seramai lapan warga asing dan warga tempatan diperiksa melibatkan tiga lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, seorang wanita warga Mynamar dan seorang lelaki warga India berusia antara 25 hingga 45 tahun.
“Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1983 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa,” katanya.
Dalam pada itu, agensi berkenaan turut menahan 50 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan di Senai pada awal pagi Selasa.
Mohd Rusdi berkata, operasi bermula jam 12.15 tengah malam hingga 1 pagi itu turut disertai 70 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Negeri dan dari JIM Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Operasi ini dibuat susulan aduan awam menenai warga asing yang bekerja tanpa pas dan permit yang sah di lokasi titik panas di bandar raya ini.
“Dalam operasi ini seramai 94 individu diperiksa dan mereka ditahan melibatkan 15 lelaki dan 32 wanita warga Mynamar, dua lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga Indonesia yang berusia antara 19 hingga 55 tahun.
“Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15(1)(c) kerana melindungi PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!