Siasatan GISBH dijalankan terperinci, ikut peruntukan undang-undang - KPN

Tan Sri Razarudin Husain
Tan Sri Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dijalankan secara terperinci dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan siasatan dibuat berdasarkan laporan, maklumat diterima dan risikan yang dijalankan pihak polis.

Menurutnya, pihak polis menjakankan siasatan secara berhati-hati dalam memastikan tindakan terhadap GISBH dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

“Seperti dijelaskan sebelum ini, PDRM menjalankan siasatan di bawah undang-undang yang ada di dalam Malaysia untuk kesalahan seperti Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) dan akta-akta lain.

“Malah, siasatan turut dilakukan di bawah kes jenayah iaitu Kanun Keseksaan (KK) seperti Seksyen 506 KK, Seksyen 354 KK dan ada antara kertas siasatan telah dituduh di mahkamah," katanya pada Selasa.

Tambahnya, Op Global ini juga dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi lain.

Jelas Razarudin, berdasarkan siasatan, wujud unsur pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak malah terdapat beberapa video yang tular menunjukkan elemen itu berlaku di rumah amal tersebut.

“Tindakan pihak polis adalah untuk menyelamat mangsa-mangsa dipercayai diabaikan, dianiayai, didera atau dieksploitasi selain menangkap dan seterusnya mendakwa individu bertanggungjawab dalam kesalahan tersebut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Jurucakap Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, anak-anak yang dikaitkan dengan GISBH bukan diselamatkan oleh polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepertimana dikatakan media, sebaliknya ditahan, dipisah serta disembunyikan secara tidak sah dari segi undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!