JPS laksana kerja kukuh benteng hadapi air pasang besar

Kerja-kerja baik pulih pembinaan ban di RTB Batu 7, Ijok pada 9 Oktober lalu.
Kerja-kerja baik pulih pembinaan ban di RTB Batu 7, Ijok pada 9 Oktober lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan kerja-kerja pengukuhan benteng pantai di beberapa kawasan di daerah ini sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar pada Khamis hingga Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata, kerja-kerja itu antaranya membabitkan benteng Sungai Kajang, Sungai Janggut, Pantai Remis dan Tanjong Karang.

"Keutamaan pengukuhan benteng ini dijalankan di kawasan berisiko tinggi berlakunya ombak kuat terutama ancaman fenomena air pasang besar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Terdahulu, JPS telah melaksanakan kerja-kerja baik pulih benteng dan ban pecah yang mengakibatkan banjir di daerah ini pada 3 Oktober lalu.

Kerja-kerja menyiapkan benteng pecah berdekatan Taman Saujana Aman siap sepenuhnya pada 5 Oktober lalu, manakala pembinaan ban di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Batu 7, Ijok pula pada 9 Oktober lalu.

Mohd Raiz memberitahu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kuala Selangor akan dibuka di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor bermula Khamis ini.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor memberitahu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh mengakibatkan laut bergelora dan ombak besar.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"PDT juga telah mengarahkan semua ketua jabatan dan agensi terlibat untuk memastikan PKOB diaktifkan di peringkat masing-masing bagi memudahkan operasi bantuan kepada kesemua golongan yang terkesan," kata beliau.

Orang ramai dimohon untuk menghubungi PKOB di talian 03-32897632 atau WhatsApp Helpline Bencana PDT Kuala Selangor di talian 011-16717100 untuk melaporkan bencana di kawasan masing-masing.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan, penduduk di kawasan pesisir pantai di Selangor diminta peka dan berwaspada untuk berdepan fenomena air pasang besar.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, bacaan paras air laut dijangkakan meningkat sehingga mencecah ketinggian 5.8 meter.

Menurut beliau, paras air dijangka naik sehinga 5.7 meter pada Khamis ini, manakala Jumaat setinggi 5.8 meter sementara Sabtu dan Ahad masing-masing 5.7 dan 5.5 meter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!