Keluarga muda rekod perceraian paling tinggi - Nancy

Berdasarkan Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2023, perceraian tertinggi dicatatkan dalam kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi lelaki dan 30 hingga 34 tahun bagi perempuan. Foto hiasan
Berdasarkan Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2023, perceraian tertinggi dicatatkan dalam kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi lelaki dan 30 hingga 34 tahun bagi perempuan. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga muda atau perkahwinan muda iaitu di bawah 10 tahun merekodkan kadar perceraian paling tinggi di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia mengambil kira purata umur rakyat Malaysia yang memasuki ikatan perkahwinan pada umur antara 27 dan 28 tahun.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2023, perceraian tertinggi dicatatkan dalam kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi lelaki dan 30 hingga 34 tahun bagi perempuan.

"Dalam usaha memperkasakan institusi keluarga, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) telah memperkenalkan program-program bersesuaian di pelbagai fasa perkahwinan, iaitu dari sebelum perkahwinan, di awal perkahwinan serta seiring dengan perkembangan keluarga.

"Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, kursus praperkahwinan yang ditawarkan oleh LPPKN menyasarkan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada peserta tentang persediaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Disebabkan kadar perceraian dalam kalangan perkahwinan muda yang tinggi, LPPKN telah membangunkan program tambahan 'SMARTSTART 2nd Honeymoon', iaitu program bagi memperkasakan perkahwinan khusus kepada pasangan dengan usia perkahwinan lima tahun ke atas," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamuddin (PN-Alor Setar) mengenai perancangan KPWKM bagi mewujudkan pelan pemerkasaan keluarga terutama yang baru memasuki fasa lima tahun pertama perkahwinan dalam kalangan pasangan muda.

Tambah Nancy, LPPKN juga menyediakan perkhidmatan perancangan keluarga bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga manakala bagi pasangan yang menghadapi masalah mendapatkan anak, perkhidmatan rawatan kesuburan juga ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi ibu muda, LPPKN turut menyediakan perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin MamaCare bertujuan membantu kepulihan kesihatan mereka untuk Kembali aktif termasuklah kembali bekerja.

“Bagi fasa seterusnya, LPPKN juga menawarkan program keibubapaan anak kecil, khususnya untuk membantu 'first time parent' dalam memberi pengetahuan dan kemahiran yang sewajarnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!