'Serba tak kena, kita bukan bawa pemain baru belajar main bola' - Pekan Ramli

Skuad negara dibelasah oelh New Zealand 0-4 dalam aksi persahabatan di Auckland. FOTO: FAM (Gambar kecil: DR PEKAN RAMLI)
Skuad negara dibelasah oelh New Zealand 0-4 dalam aksi persahabatan di Auckland. FOTO: FAM (Gambar kecil: DR PEKAN RAMLI)
A
A
A

PERSEMBAHAN Harimau Malaya ketika dibelasah New Zealand 0-4 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin menunjukkan pasukan negara kekurangan kualiti untuk bersaing dengan pasukan yang lebih bagus.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, aksi dipamerkan para pemain terutama pemain warisan dan naturalisasi sememangnya tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Malah, Pekan melihat pemain negara juga umpama hilang idea dan gagal untuk cuba sekurang-kurangnya menyaingi New Zealand yang turun tanpa ramai pemain utama dalam perlawanan tersebut.

"Saya hairan dengan permainan mereka (pemain). Kita bukan bawa pemain yang baru belajar main bola. Sebab bila kita tengok dalam perlawanan itu serba tak menjadi, kawalan bola lemah dan selalu hilang bola.

"Ia tidak menunjukkan kualiti yang diharapkan terutama daripada pemain warisan atau naturalisasi. Mana kualiti yang mereka ada?

"Terlalu gementar sangat ke main dengan New Zealand. Sepatutnya apabila peluang diberikan kepada pemain ini, mereka dapat gunakan sebaiknya.

"Walaupun ini bukan kejohanan atau perlawanan kelayakan dan sekadar perlawanan persahabatan, mereka perlu buktikan mereka bermain mewakili lencana di dada," katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia nyata bukan tandingan pasukan All Whites tersebut yang berada di kedudukan ke-95 dunia apabila tewas melalui empat gol pada separuh masa kedua hasil jaringan Elijah Just, Matthew Garbett, Chris Wood dan Logan Rogerson.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pekan, kekalahan dengan empat jaringan tanpa balas agak memalukan apatah lagi Harimau Malaya hadir dengan harapan untuk cuba mengejutkan pasukan tuan rumah dan mencari mata ranking.

"Kita tak sepatutnya dibelasah dengan jaringan empat gol di New Zealand sebab kita umpama datang ke sana mencabar mereka, tetapi apabila main kita yang tak melawan dan kena belasah.

"Di mana sebenarnya kegagalan kita? Ini yang perlu dikaji oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terutama dari segi kekurangan persediaan sebelum mengharungi sebarang aksi kompetitif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!