Pemandu lori maut dilanggar lari ketika melintas jalan
TANAH MERAH - Seorang pemandu lori maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Lebuhraya Timur-Barat di Kampung Panglima Bayu di sini pada Isnin.
Mangsa beralamat dari Bandar Baru Putra, Perak sebelum itu berjalan kaki dari arah kedai makan dan menuju ke lori yang diletakkan di seberang bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu di kaunter trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada jam 9 malam.
“Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa sedang melintas jalan dan sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti, datang dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli melanggar mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.
Beliau mengulas, akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat seterusnya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau menambah, polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.
“Polis giat mengesan pemandu kereta yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.
“Saya juga menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati sama ada memandu atau berjalan kaki,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!