Rangkaian perniagaan GISBH di Pulau Pinang hampir lumpuh

Kedai Ikhwan Bundle di Lahar Yooi dilihat tidak terurus.
Kedai Ikhwan Bundle di Lahar Yooi dilihat tidak terurus.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Kebanyakan rangkaian perniagaan milik GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Pulau Pinang telah menghentikan operasi.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis perniagaan syarikat terbabit di Lahar Yooi di sini mendapati papan tanda dan logo GISBH telah ditanggalkan selain keadaan kedai dilihat kosong serta tidak terurus.

Restoran Ikhwan Seafood di Lahar Yooi dikatakan telah lama menghentikan operasi perniagaan mereka.
Restoran Ikhwan Seafood di Lahar Yooi dikatakan telah lama menghentikan operasi perniagaan mereka.

Difahamkan sebelum ini syarikat terbabit mengusahakan Restoran Ikhwan Seafood, Kedai Bekeri Ikhwan, Kafe Ikhwan dan Ikhwan Mart di kawasan terbabit.

Turut ditutup perniagaan ayam segar Ikhwan dan Bundle Ikhwan yang terletak berhampiran dengan persimpangan lampu isyarat Lahar Yooi di sini.

Papan tanda perniagaan ayam segar Ikhwan telah ditanggalkan sejak isu membabitkan GISBH menjadi sensasi.
Papan tanda perniagaan ayam segar Ikhwan telah ditanggalkan sejak isu membabitkan GISBH menjadi sensasi.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hussein berkata, perniagaan syarikat berkenaan telah lama ditutup sejak isu membabitkan GISBH menjadi sensasi di seluruh negara ini.

"Sebelum isu GISBH ini 'meletup' pun kawasan perniagaan mereka di sini suram sahaja dan premis perniagaan mereka dilihat mula tutup satu persatu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas pendedahan polis mengenai pelbagai kontroversi membabitkan syarikat terbabit, kita dapati ada di antara orang mereka datang ke sini dan menurunkan semua papan tanda serta logo GISBH," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Premis Ikhwan Mart di Lahar Yooi dilihat kosong.
Premis Ikhwan Mart di Lahar Yooi dilihat kosong.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Bandar Perda mendapati kedai Ikhwan Mart yang sebelum ini beroperasi di kawasan perniagaan itu telah ditutup sepenuhnya.

Berbeza pula di Sungai Ara apabila perniagaan Ikhwan Mart dilihat masih dibuka seperti biasa namun pemerhatian mendapati kedai itu kurang mendapat sambutan pelanggan.

Logo perniagaan GISBH di Kafe Ikhwan di Lahar Yooi dilihat ditanggalkan.
Logo perniagaan GISBH di Kafe Ikhwan di Lahar Yooi dilihat ditanggalkan.

Malah papan tanda perniagaan besar yang sebelum ini dipasang telah diturunkan di premis berkenaan selain mendapati sebahagian pintu kedai ditutup.

Selain itu, tinjauan di sebuah lagi kafe mereka di tengah Bandar George Town pula mendapati premis itu telah ditutup sepenuhnya termasuk papan tanda perniagaan telah diturunkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!