Gula sedap tapi 'beracun'

No Image Caption
A
A
A

Siapa yang tak suka manis? Dari kuih-muih tradisional hingga kek moden, gula adalah elemen penting dalam banyak makanan harian kita. Memang tak dinafikan, gula menjadikan makanan lebih lazat, malah mampu membangkitkan mood kita.

Tapi, sedapnya gula ada harga yang perlu dibayar. Di sebalik keenakan itu, tersembunyi racun yang perlahan-lahan merosakkan kesihatan kita jika diambil secara berlebihan.

Apakah bahaya gula berlebihan?

Walaupun gula adalah salah satu sumber tenaga, terlalu banyak pengambilan gula boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan. Menurut kajian oleh World Health Organization (WHO), orang dewasa disarankan untuk mengehadkan pengambilan gula tambahan kepada kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan pengambilan kalori harian. Malangnya, kebanyakan kita melangkaui jumlah ini dengan mudah.

1. Risiko obesiti dan diabetes

Gula berlebihan merupakan penyumbang utama kepada obesiti. Apabila kita makan terlalu banyak gula, badan tidak mampu menggunakannya sepenuhnya sebagai tenaga. Akibatnya, lebihan gula ini akan disimpan dalam bentuk lemak.

Selain itu, gula juga meningkatkan risiko diabetes jenis 2. Apabila kita mengambil gula yang tinggi secara berterusan, tahap insulin dalam badan akan melonjak dan menyebabkan resistensi insulin, iaitu keadaan di mana sel-sel badan tidak lagi bertindak balas dengan baik kepada hormon insulin. Ini akhirnya menyebabkan paras gula darah meningkat, lantas membuka ruang kepada diabetes.

2. Masalah jantung

Hampir 2.3 juta rakyat Malaysia menghidap 3 penyakit tidak berjangkit termasuk kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan obesiti.

Artikel Berkaitan:

Pengambilan gula berlebihan meningkatkan tekanan darah dan meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.

3. Kerosakan gigi

Ini mungkin bahaya gula yang paling kita fahami sejak kecil—kerosakan gigi. Apabila kita makan gula, bakteria dalam mulut mengubahnya menjadi asid yang menyerang enamel gigi, menyebabkan kaviti dan kerosakan gigi. Menurut American Dental Association, gula adalah penyumbang utama kepada masalah gigi di seluruh dunia.

Gula dalam bentuk tersembunyi

Ramai orang mungkin berfikir mereka sudah mengurangkan gula kerana jarang makan kuih atau minum air manis. Tapi tahukah anda, gula tersembunyi dalam pelbagai makanan dan minuman yang kelihatan ‘sihat’? Contohnya, yogurt berperisa, sos dan minuman tenaga semuanya mengandungi gula yang tinggi.

Kajian oleh University of California mendapati bahawa gula tersembunyi dalam makanan ini adalah antara sebab utama kita sukar mengehadkan pengambilan gula harian.

Memang sedap menikmati makanan manis, tapi jangan terpedaya dengan kelazatannya. Gula yang kita nikmati hari ini mungkin akan menjadi racun kepada kesihatan kita pada masa hadapan.

Dalam kata lain, 'manis itu tak selalu bermakna bahagia', terutama jika diambil berlebihan. Jadi, langkah terbaik ialah mengehadkan pengambilan gula, menikmati makanan manis secara sederhana, dan mengutamakan gaya hidup yang lebih sihat.

Ingat, nikmat gula itu sementara, tetapi kesannya boleh berkekalan.

Malah mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2023, lebih daripada 50 peratus rakyat Malaysia atau 1 daripada 2 dewasa di Malaysia adalah berlebihan berat badan dan obes. Ini adalah satu angka yang membimbangkan, memandangkan obesiti merupakan salah satu punca utama kepada penyakit kencing manis.

Pada masa yang sama, dianggarkan 3.9 juta rakyat Malaysia atau 1 daripada 6 dewasa menghidap penyakit kencing manis, satu keadaan yang berkait rapat dengan pengambilan gula berlebihan.

Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dan Kempen Perangi Gula sempena Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan turut menyeru rakyat Malaysia mengurangkan pengambilan gula berlebihan supaya kesihatan dapat dijaga dan penyakit dapat dicegah dari awal.

Kawal pengambilan gula

No Image Caption



Salah satu cara untuk mengawal pengambilan gula harian adalah dengan membaca label makanan dan minuman yang kita beli. Banyak produk di pasaran mengandungi gula tersembunyi yang sering tidak disedari. Misalnya, minuman ringan, jus buah-buahan dalam kotak dan makanan ringan sering kali mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia 2020 turut menyarankan pengambilan gula harian tidak melebihi 7 ½ sudu teh sahaja untuk seorang dewasa normal yang berkeperluan 1500 kalori sehari.

Dengan lebih berhati-hati dalam memilih makanan dan minuman, serta mengurangkan pengambilan gula, kita dapat mencegah masalah kesihatan seperti obesiti dan kencing manis.

Amalkan tabiat membaca label dan pilihlah alternatif yang lebih sihat seperti air kosong atau makanan segar. Kesihatan kita adalah tanggungjawab kita sendiri menjadi keutamaan dalam program BMSS dan perubahan kecil dalam gaya pemakanan boleh membawa impak besar dalam jangka masa panjang.

Makan untuk sihat

Bagi menjamin tahap kesihatan kita terjaga dan berkekalan, kita mesti mengamalkan tabiat makan secara sihat.

Pemakanan sihat bukan sekadar mengurangkan pengambilan makanan bergula atau berlemak, tetapi juga memberi fokus kepada keseimbangan nutrien yang kita ambil setiap hari. Antara prinsip pemakanan sihat yang penting:

1.Keseimbangan karbohidrat, protein dan lemak

Pemakanan yang baik adalah tentang keseimbangan. Ikutlah konsep Pinggan Sihat Malaysia- Suku Suku Separuh iaitu separuh daripada pinggan adalah sayur-sayuran dan buah-buahan, suku daripada pinggan adalah daripada sumber protein (telur, ayam, daging, tempe dan tauhu) dan suku lagi daripada pinggan adalah daripada sumber karbohidrat ( nasi/ mi/ mihun/ roti/ pasta dan ubi-ubian). lupa ambil air kosong - 2 Liter sehari.

2.Pengambilan serat

Serat adalah kunci kepada sistem penghadaman yang baik dan dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan diabetes. NHMS 2023 melaporkan bahawa hanya 3 daripada 10 orang dewasa di Malaysia mengambil jumlah serat yang mencukupi setiap hari. Sumber serat terbaik adalah buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang.

3.Pengurangan pengambilan gula

Malaysia berada di antara tangga tertinggi di Asia Tenggara dalam pengambilan gula. NHMS 2023 mendapati bahawa 9 juta rakyat Malaysia mengambil minuman bergula setiap hari, menyumbang kepada peningkatan kes diabetes. Saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2015, menyarankan pengambilan gula sehari bagi orang dewasa adalah TIDAK MELEBIHI 10% daripada jumlah keperluan tenaga harian. Contohnya bagi individu yang sedentari, keperluan kalori harian adalah 1500 kalori, jadi saranan pengambilan gula adalah tidak melebihi 7.5 sudu teh gula sehari.

Makan Sihat: Berubahlah segera

Dengan mengamalkan gaya pemakanan yang lebih sihat, kita boleh mengurangkan risiko penyakit kronik dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Jangan tunggu sehingga masalah kesihatan muncul. Mula amalkan pemakanan sihat hari ini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!