Bicara kes Norjuma mula April tahun depan
KUALA LUMPUR - Perbicaraan empat kes mencederakan dua individu dan melakukan khianat dihadapi bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed di tiga Mahkamah Majistret di sini pada Selasa ditetapkan bermula April dan Mei tahun depan.
Bagi kes menendang betis kiri pengawal warga Nepal, Majistret Illi Marisqa Khalizan menetapkan perbicaraan kes pada 28 dan 29 April sementara menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail di hadapan Majistret Haneefa Arifin ditetapkan pada 13 dan 14 Mei.
Di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad, mahkamah itu menetapkan perbicaraan berlangsung selama dua hari bermula 5 dan 6 Mei, bagi dua kes khianat merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium.
Semua kes ini termasuk baki satu lagi pertuduhan iaitu menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 32, mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan semula dokumen.
Mengikut pertuduhan pertama, Norjuma mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq, 34, di sebuah syarikat borong dan runcit di Menara Atlan, Jalan Ampang, Dang Wangi di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.
Mengikut pertuduhan kedua, wanita itu didakwa melakukan kesalahan sama terhadap pengawal keselamatan warga Nepal, Neupane Tika Ram, dengan menendang betis kiri pengawal itu di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara, Brickfields di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.
Pertuduhan ketiga, wanita itu dituduh melakukan perbuatan serupa ke atas Nur Solehah dengan menampar pipi dan mencakar tangan mangsa di Kondominium Sastra U-Thant, Wangsa Maju di sini pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.
Pertuduhan keempat dan kelima pula, Norjuma didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan dengan anggaran kerugian RM4,200, serta merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) anggaran kerugian RM500 milik kondominium sama pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!