Bekas eksekutif kanan ditahan disyaki minta, terima rasuah RM370,000


Bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas yang disyaki menerima rasuah RM370,000 direman empat hari sehingga 18 Oktober.
Description
Bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas yang disyaki menerima rasuah RM370,000 direman empat hari sehingga 18 Oktober. Description
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas ditahan selepas disyaki menerima rasuah RM370,000 sebagai balasan bagi mendapatkan kontrak untuk melantik konsultan bagi syarikat berkenaan pada Isnin.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Perintah reman selama empat hari sehingga 18 Oktober telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek pada ketika itu yang bertugas sebagai eksekutif kanan di sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada empat individu bagi membolehkan mereka dilantik sebagai konsultan pakar geologist untuk kerja-kerja di syarikat tersebut.

“Kesemua individu terbabit dibayar antara RM750 hingga RM2,100 sehari bergantung kepada kadar bayaran konsultan pakar geologi dan tawaran yang diputuskan oleh syarikat suspek.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik suspek daripada akaun bank keempat-empat individu tersebut yang berjumlah antara RM150 hingga RM500 sehari,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!