Feri ikonik tidak berupaya beroperasi di laut
GEORGE TOWN - Kebocoran yang berlaku pada Feri Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan bahawa feri ikonik yang telah dihentikan perkhidmatannya sejak 2021 itu tidak lagi berupaya untuk beroperasi di laut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, untuk memastikan ia boleh berada di laut dengan selamat, feri tersebut perlu dibaiki dengan baik dan teliti oleh syarikat yang bertanggungjawab.
"Bagi menjadikannya layak berada di laut semula, feri ini memerlukan kerja-kerja pembaikan kejuruteraan yang meluas dan ia merupakan tugas mencabar bagi syarikat bertanggungjawab di samping kos yang tinggi," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Selasa.
Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri berharap agar syarikat yang dipertanggungjawabkan itu dapat memulihkan semula keadaan feri berkenaan untuk memastikan ia selamat apabila dibuka kepada orang awam kelak.
"Feri itu kini kelihatan kritikal kerana berada dalam keadaan yang senget dan separuh tenggelam.
"Diharapkan syarikat itu dapat membaiki dan menyelamatkannya," katanya.
Sebelum ini, kebocoran pada bahagian bawah sehingga menyebabkan air memasuki ruangan enjin merupakan punca sebuah feri ikonik yang sedang dalam proses pengubahsuaian berada dalam keadaan senget dan hampir tenggelam.
Feri yang bernama Feri Pulau Pinang itu sedang diubah suai untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang
Feri tersebut didapati berada dalam keadaan senget sejak 6 Oktober lalu ketika berada di Dermaga South Inner Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
Susulan daripada itu, syarikat yang menjalankan Projek Muzium Feri iaitu Printhero Merchandise Sdn Bhd (Printhero) sedang melaksanakan kerja-kerja menyelamat serta mengenal pasti punca kebocoran berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!