Ajinomoto perluas Sports Nutrition Awareness Project ke SSMT
AJINOMOTO (Malaysia) Berhad (AMB) memperluaskan Sports Nutrition Awareness Project ke Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) sebagai sebahagian inisiatif Penciptaan Nilai Bersama oleh Kumpulan Ajinomoto (ASV).
Syarikat itu berkata, program tersebut bertujuan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan atlet murid selain membantu mereka mencapai ‘VICTORY’ melalui pemakanan yang lebih baik.
“SSMT merupakan sekolah kebangsaan keempat yang menerima manfaat daripada inisiatif tersebut sejak bermula pada 2019 di Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) pada 2022 dan Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SMSS) (2023).
“Sehingga kini, ia telah merangkumi lebih 1,200 atlet murid dari BJSS, SSMP dan SMSS. Pakar makanan juga telah berikan pendedahan mengenai pemakanan sukan melalui ceramah kesihatan, hidangan Winning Meals Kachimeshi serta sudut maklumat yang disediakan oleh AMB,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Baru-baru ini, program ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Pengurusan Sekolah, Jalaluddin Ismail, Pegawai Perhubungan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Asmadi Abdullah, Pengetua SSMT, Rosmawati Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan AMB, Riichiro Osawa dan Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran AMB, Noriko Fujimoto.
Mengulas lanjut, inisiatif berkenaan mendapat sokongan kukuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Menerusi kerjasama ini, AMB berhasrat untuk memberi lebih banyak manfaat kepada atlet murid dengan mempromosikan diet seimbang dan tabiat makanan yang lebih sihat.
“Kami kekal komited untuk memupuk semangat kesukanan dan memperkasa atlet muda untuk mencapai prestasi puncak dalam pertandingan sukan serta berusaha ke arah ‘VICTORY’ melalui ‘Eat Well, Live Well’,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!