Sisa kimia ditemui dibuang di Bukit Pelanduk
PORT DICKSON - Pembuangan sisa kimia yang dipercayai cat dan minyak ditemukan di kawasan Bukit Pelanduk di sini pada Isnin.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, aduan awal mengenai kejadian itu diterima oleh Unit Aduan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) pada jam 4.30 petang melalui aplikasi WhatsApp.
"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat lebih kurang 70 hingga 100 tong berkapasiti 210 liter dan lebih kurang 50 tangki IBC berkapasiti 1,000 liter.
"Kawasan pembuangan terletak jauh dari pandangan umum selain terlindung di sebalik dinding yang menghalangnya daripada dilihat dari jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, kandungan dalam tong-tong tersebut dipercayai merupakan sisa cat terpakai, manakala tangki IBC pula mengandungi bahan yang dipercayai minyak.
"Keadaan ini menjadi lebih mencurigakan kerana tiada label pada bekas-bekas berkenaan, dipercayai telah ditanggal bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Justeru, JASNS telah mengambil langkah proaktif dengan membuat persampelan kandungan yang akan dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa secara lebih terperinci.
"Sebagai tambahan, laporan polis telah dibuat bagi tujuan pemberitahuan dan pemantauan yang lebih tepat oleh pihak berkuasa," katanya.
Ujarnya, JASNS seterusnya akan menjalankan carian pemilik tanah melalui Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson untuk membantu dalam siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
"Tindakan perundangan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti pencemaran ini.
"JASNS menyeru orang awam agar memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sisa haram yang mereka saksikan bagi membanteras amalan tidak bertanggungjawab ini demi memelihara kelestarian alam sekitar kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!