Tiga kenderaan termasuk kereta mewah bernilai RM1.1 juta disita

Kereta mewah jenis Porsche 982 Cayman GT4 RS yang disita JKDM Perlis.
Kereta mewah jenis Porsche 982 Cayman GT4 RS yang disita JKDM Perlis.
A
A
A

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menyita tiga kereta termasuk sebuah kereta mewah bernombor pendaftaran Pulau Bebas Cukai iaitu Langkawi bernilai lebih RM1.1 juta kerana dipercayai berada di Kawasan Utama Kastam (KUK) melebihi tempoh 90 hari tanpa kebenaran.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, tiga kereta berkenaan disita dalam pemeriksaan berasingan termasuk Mazda 2.0 Sedan SKYACTIV dianggarkan bernilai RM50,000 dan cukai RM78,500 pada 1 tengah hari, 26 September lepas.

"Pada hari sama, sebuah lagi kereta jenis Toyota Camry disita pihak Kastam dianggarkan bernilai RM55,000 dan cukai RM86,570 dalam pemeriksaan lebih kurang jam 3.30 petang. Pemeriksaan terhadap dua kereta ini dilakukan di Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Ismail berkata, pihaknya menyita sebuah lagi kereta yang merupakan kereta mewah jenis Porsche 982 Cayman GT4 RS dianggarkan bernilai RM1 juta dan cukai RM1.9 juta dalam pemeriksaan ke atas kereta itu di Kompleks Kastam Negeri di sini pada 6.20 petang, 1 Oktober lepas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua kereta itu disyaki berada di KUK melebihi tempoh yang dibenarkan di bawah Butiran 14, Bahagian I, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Ismail berkata, Kastam Perlis berjaya merampas rokok pelbagai jenis dan minuman keras dipercayai tidak berkastam bernilai keseluruhan lebih RM18,000 dalam dua pemeriksaan berasingan di sekitar Perak bulan lepas.

"Pemeriksaan ke atas sebuah premis kedai runcit di Jalan Besar Felda Gunung Besout 1, Sungkai pada 9 September, lebih kurang 11.15 pagi, telah menemukan 263 karton atau 46,745 batang rokok disyaki tidak berkastam bernilai RM10,527.85 dan cukai RM31,909.49,” katanya.

Mengenai rampasan minuman keras dipercayai tidak berkastam pula katanya sebanyak 752.40 liter atau 2,280 tin dengan anggaran nilai RM7,600 dan cukai RM12,140 dirampas dalam pemeriksaan ke atas sebuah stor tidak berkunci di Jalan Perusahaan 7, Kawasan Perindustrian Kemunting pada 3 petang, 12 September lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!