[VIDEO] 108 kanak-kanak GISBH tunjuk kecelaruan kognitif

A
A
A

KUALA LUMPUR - 108 daripada 385 kanak-kanak diselamatkan dalam Ops Global yang dikaitkan dengan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) didapati mengalami masalah kecelaruan kognitif.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah tersebut, 30 kanak-kanak mempunyai kecelaruan kognitif teruk manakala 78 lagi menderita komplikasi sama yang sederhana.

Nancy. Foto Bernama
Nancy. Foto Bernama

Ujar beliau, ia berdasarkan hasil profiling awal yang telah dijalankan melibatkan penilaian kognitif awal ke atas 385 kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas.

“Setakat 13 Oktober 2024, profiling awal ini telah dijalankan ke atas 558 kanak-kanak yang kini berada di bawah perlindungan dan penjagaan JKM di tempat-tempat selamat bagi mengumpulkan maklumat latar belakang mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Penerangan Menteri Berkenaan Isu Kebajikan Kanak-Kanak yang Diselamatkan Dalam Ops Global Membabitkan GISBH di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Nancy, tinjuan dari segi penilaian fizikal atau kesihatan pula mendapati 46.1 peratus kanak-kanak mencatatkan berat badan normal, 51.6 peratus mencatatkan berat badan di bawah paras Indeks Jisim Tubuh (BMI) sihat dan 2.7 peratus lagi pada kategori obesiti.

Ulas beliau, tiga orang daripada mereka juga mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) manakala 27 orang lagi kanak-kanak mempunyai simptom OKU.

Artikel Berkaitan:

“56.3 peratus daripada mereka mengaku pernah ‘bersekolah’ sama ada di sekolah kebangsaan, sekolah aliran agama kerajaan, sekolah agama ataupun pusat yang dikendalikan oleh entiti syarikat berkenaan mahupun di tempat mereka tinggal.

“94.3 peratus daripada mereka mengaku masih mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung.

“Manakala 5.7 peratus lagi tidak mempunyai ibu bapa atau tiada maklumat mengenai mereka,” menurutnya.

Kata Nancy, 560 kanak-kanak terbabit dalam Ops Global sedang ditempatkan di Tempat-Tempat Selamat setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah.

Jelasnya, arahan bagi tempoh dua bulan itu mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Setelah selesai proses mendapatkan perintah jagaan sementara, JKM telah menubuhkan Pasukan Task Force Profiling Kanak-Kanak Op Global.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!