Bolehkah jamak solat ketika banjir?

MENURUT pandangan muktamad Mazhab Syafie, tidak boleh melakukan solat jamak kerana banjir, namun ada sebahagian ulama yang membenarkannya. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
MENURUT pandangan muktamad Mazhab Syafie, tidak boleh melakukan solat jamak kerana banjir, namun ada sebahagian ulama yang membenarkannya. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

HUJAN lebat berpanjangan dan cuaca tidak menentu menyebabkan kita gusar kawasan didiami dilanda bah atau banjir kilat.

Masakan tidak, ia akan menyukarkan rutin harian termasuklah dalam perihal ibadah kerana ketiadaan tempat sempurna untuk mendirikan solat, kemungkinan tiada air atau elektrik dan sebagainya.

Persoalannya, bolehkah kita melakukan solat jamak ketika banjir?

Merujuk kepada Maktabah Albakri,mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, tidak dibolehkan untuk melakukan solat jamak semasa banjir kerana mangsa bah lazimnya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai dan sekolah.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

“Berkumpulnya mangsa banjir di situ sahaja sudah membolehkan mereka untuk solat berjemaah pada setiap solat fardu,” katanya dipetik menerusi artikel #110 Solat jamak ketika banjir dan hujan dalam laman web berkenaan.

Sementara itu, pendakwah Ustazah Asma’ Harun menerusi perkongsian dalam laman sosial Facebooknya sebelum ini menjelaskan, walaupun pandangan muktamad Mazhab Syafie tidak membolehkan solat jamak dilakukan kerana banjir, tetapi terdapat sebahagian ulama fiqh yang membenarkannya.

Artikel Berkaitan:

Dalam situasi banjir, katanya, solat jamak boleh dilakukan jika rumah sedang dinaiki air hingga tiada tempat untuk solat; semasa sedang menyelamatkan diri dan harta ketika banjir dan saat darurat semasa menunggu untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara.

USTAZAH ASMA'
USTAZAH ASMA'

“Mangsa atau petugas dibolehkan untuk melakukan solat jamak ketika situasi mendesak seperti menyelamatkan diri atau harta semasa banjir yang mana di sini digalakkan untuk solat jamak secara taqdim.

“Sekiranya menjangkakan akan berlaku kesukaran yang darurat untuk menunaikan solat jamak taqdim, maka dibolehkan melaksanakan solat jamak takhir,” katanya.

Pandangan itu selari sebagaimana pendapat Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya, Fatwa Mu’asiroh yang mana beliau mengharuskan jamak dalam keadaan uzur dan darurat sahaja sebagaimana contoh diberikan tadi.

Begitu juga dengan pendapat sebahagian ulama fiqh termasuklah sebahagian ulama Mazhab Syafie yang mana mereka berpandangan, ada sebab lain lagi membolehkan seseorang menjamakkan solat kerana banjir jika memang ada masyaqqah (darurat).

Bagi mangsa banjir yang telah ditempatkan beramai-ramai di kawasan penempatan kering dan lapang yang tiada darurat padanya, tegas Ustazah Asma’, mereka hendaklah melakukan solat secara sempurna tanpa menjamakkannya.

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan untuk menjamakkan solat kerana banjir, Ustazah Asma’ mengingatkan, lebih baik untuk kita tidak melakukan jamak.

Ini kerana katanya, melaksanakan solat dalam waktu asalnya adalah lebih afdal dan untuk keluar dari khilaf ulama.

SOLAT jamak boleh dilakukan jika rumah sedang dinaiki air hingga tiada tempat untuk solat; semasa sedang menyelamatkan diri dan harta ketika banjir dan saat darurat semasa menunggu untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara. -Foto: Canva
SOLAT jamak boleh dilakukan jika rumah sedang dinaiki air hingga tiada tempat untuk solat; semasa sedang menyelamatkan diri dan harta ketika banjir dan saat darurat semasa menunggu untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara. -Foto: Canva

“Pada dasarnya, solat jamak dibolehkan atas beberapa faktor iaitu perjalanan (musafir) yang melebihi dua marhalah (81 kilometer), hujan lebat bagi orang yang biasa melazimi solat berjemaah di masjid dan sakit kuat.

“Namun, dalam kaedah fiqh ada menyebut ‘Sesiapa yang diberati dengan sesuatu, maka dia boleh bertaklid kepada ulama yang mengharuskan’,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!