Maklum awal jika lepas air empangan - MB Perak

Saarani
Saarani
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta untuk memaklumkan awal terhadap pelepasan air melibatkan empangan di sepanjang Sungai Perak bagi mengelakkan peristiwa banjir besar 2014 berulang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peristiwa itu menyebabkan ramai penduduk terjejas selepas TNB membuat keputusan melepaskan air dari empangan Temengor dan Kenering tanpa memaklumkan kepada Pegawai Daerah.

"Sejak peristiwa itu, kita sentiasa dimaklumkan oleh TNB berhubung paras air tetapi kali ni saya dimaklumkan mereka melepaskan air dari empangan Chenderoh tanpa dimaklumkan kepada Jurutera Daerah.

"Jadi orang di bawah (penduduk) inilah menjadi mangsa. Sepatutnya apabila TNB hendak melepaskan air, kita kena maklum juga kepada penduduk bukan sahaja di Kuala Kangsar tetapi Perak Tengah dan Hilir Perak," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lasah di sini pada Selasa.

Menurut Saarani, pihaknya menerima mesej makluman pelepasan air empangan Chenderoh pada jam 12.13 tengah hari pada Selasa selepas pelepasan air terkawal dilakukan.

"Saya harap masalah komunikasi ini dapat diatasi kerana melihatkan mangsa yang lari sehelai sepinggang, bermakna mereka terkejut dan tidak menjangkakan banjir kali ini.

"Walaupun ia kecemasan, sekiranya memaklumkan lebih awal, pejabat daerah dan jawatankuasa bencana daerah dapat buat persiapan kerana ada tempoh masa untuk air sampai ke hilir sungai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saarani menegaskan bahawa koordinasi antara agensi perlu diselaraskan dalam menghadapi keadaan cuaca kini.

"Kita tidak menyalahkan TNB kerana itu kerjanya di empangan dia tetapi kita minta ada koordinasi dengan dimaklumkan pejabat daerah terlibat.

"Dengan keadaan cuaca, kita faham TNB tidak boleh menyimpan lama air di empangan kerana dibimbangi empangan pecah, oleh sebab tu mereka melepaskan air," katanya.

Beliau berkata, paras air empangan Stesen-Stesen Janaelektrik Sungai Perak berada di bawah paras bahaya dan terkawal.

"Paras air di Stesen Janakuasa Kenering dan Chenderoh menunjukkan paras amaran iaitu 111.14 meter (m) dan Chenderoh 60.40m, manakala Stesen Janakuasa Temengor (241.24 m) dan Bersia (140.34 m) berada pada paras normal.

"Pelepasan terkawal perlu dilakukan di kedua-dua empangan Kenering dan Chenderoh sebagai proses operasi imbangan aliran masuk dan keluar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!