Timbalan Penolong Pengarah Imigresen kekal bebas kes rasuah

Mohd Faizzan (tengah) bersama Ahmad Ishrakh (kiri) dan Fadzil, di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Selasa bagi prosiding rayuan pendakwaan berhubung pembebasannya berhubung kes rasuah, pada 2019 dan 2020 lalu.
Mohd Faizzan (tengah) bersama Ahmad Ishrakh (kiri) dan Fadzil, di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Selasa bagi prosiding rayuan pendakwaan berhubung pembebasannya berhubung kes rasuah, pada 2019 dan 2020 lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) atas tiga pertuduhan kes rasuah melibatkan jumlah RM1,000 pada 2019 dan 2020 lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan Mohd Faizzan Sani, 37.

"Setelah membaca rekod-rekod rayuan dan mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah sebulat suara menolak rayuan perayu.

"Panel mengesahkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen bertarikh 6 Januari 2023 yang dikekalkan Hakim Mahkamah Tinggi pada 4 Disember tahun sama," katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Lim Chong Fong dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.

Dalam prosiding ini, Mohd Faizzan diwakili peguam, Ahmad Ishrakh Saad dan Fadzil Noor Alias selaku responden.

Sementara pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Irna Julieza Maaras, Muaz Ahmad Khairuddin dan Afiqa Liyana Rozman.

Pada 6 Januari 2023, Mohd Faizzan menarik nafas lega, selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam melepaskan dan membebaskannya daripada semua pertuduhan itu.

Hakim, Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Faizzan didakwa telah diberi wang suapan berjumlah RM1,000 oleh tiga pembantu imigresen sebagai orang tengah bagi melepaskan warganegara asing daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Imigresen, KLIA2 pada November 2019, Januari dan November 2020.

Ia melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!