Serangan udara Zionis musnahkan Selatan Lubnan

Serangan udara Israel memusnahkan banyak bangunan di Selatan Lubnan. Foto AFP
Serangan udara Israel memusnahkan banyak bangunan di Selatan Lubnan. Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Pesawat tentera Israel melancarkan siri serangan udara di seluruh selatan Lubnan pada Selasa, menyebabkan kemusnahan besar dan meragut nyawa satu keluarga di Jarjouaa, lapor Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan Lubnan.

Jet pejuang Israel mengebom bandar Hanin di daerah Bint Jbeil sekitar 10 pagi waktu tempatan.

Bandar selatan Taybeh di Marjeyoun turut menjadi sasaran, diikuti dengan serangan udara di Khiyam dan tembakan artileri di dataran Marjeyoun.

Serangan paling dahsyat berlaku di bandar Jarjouaa, wilayah Iqlim al-Tuffah, ketika pesawat Israel menyasarkan sebuah bangunan kediaman di kejiranan Sharayek, lapor NNA.

Serangan itu meragut nyawa Mohammad Hassan Mshawrab, seorang pekerja telekomunikasi OGERO, isterinya Ghida Farhat dan dua anak mereka.

Mohammad berada di kampung halamannya untuk membaiki kerosakan rangkaian telefon yang disebabkan oleh pengeboman yang berterusan.

Jet Israel turut menyasarkan bandar Kafr Rumman, serta sebuah rumah di Qsaybah yang musnah sepenuhnya akibat serangan.

Kawasan Qasmiyeh berhampiran Tyre turut terkena bedilan, menyebabkan kerosakan besar pada harta benda dan tanah pertanian.

Artikel Berkaitan:

Di wilayah Marjeyoun, pesawat perang Israel melancarkan beberapa siri serangan di sepanjang Sungai Litani antara perkampungan Blat dan Borgoz, meningkatkan lagi serangan hebat ke atas selatan Lubnan. - Bernama-NNA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!