Perak FC siap sedia sambut JDT di Manjung

Choo Seong (kanan) ketika sidang akhbar di Bangunan MPM di sini pada Selasa.
Choo Seong (kanan) ketika sidang akhbar di Bangunan MPM di sini pada Selasa.
A
A
A

PERAK FC sudah bersedia menyambut kehadiran pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi perlawanan tertunda kedua untuk saingan Liga Super di gelanggang baharu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini pada November depan.

Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong berkata, gelanggang baharu itu bukan sahaja digunakan bagi perlawanan menentang JDT tetapi bagi kesemua baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia susulan kerja-kerja naik taraf padang di Stadium Perak, Ipoh.

Menurutnya, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah turun meninjau keadaan Stadium MPM itu bagi melihat kesesuaian untuk dijadikan sebagai lokasi tuan rumah.

"Pengalaman saya sendiri, Stadium Manjung ini tidak ada masalah air bertakung selama ini, tahniah MPM yang memang sentiasa menjaga padang ini dengan baik dan banyak perlawanan-perlawanan memang diadakan di sini termasuk Manjung City FC pun beraksi di sini.

"Jadi bagi saya keadaan permukaan padang ini tidak ada masalah walaupun ada hujan sebab saya difahamkan sistem saliran mereka pun sangat baik," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bangunan MPM di sini pada Selasa.

Choo Seong (dua dari kanan) bersama pengurusan Perak FC dan MPM ketika meninjau keadaan Stadium MPM di sini pada Selasa.
Choo Seong (dua dari kanan) bersama pengurusan Perak FC dan MPM ketika meninjau keadaan Stadium MPM di sini pada Selasa.

Choo Seong berkata, dengan sepak mula yang dijadualkan pada sebelah petang diharap ia tidak mendatang masalah terhadap permukaan padang berbanding sebelah malam.

Menurutnya, perlawanan diadakan pada sebelah petang atas faktor pencahayaan lampu limpah yang tidak memenuhi syarat ditetapkan oleh MFL.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menyeru penyokong khususnya yang berhampiran dengan Stadium MPM untuk turun pada setiap perlawanan membabitkan pasukan Perak FC itu nanti.

Menurutnya, difahamkan kapasiti stadium berkenaan mampu memuatkan seramai 15,000 penyokong dan kehadiran penyokong amat penting untuk pasukan.

"Jadi saya harap penyokong Perak FC akan terus memberikan sokongan kepada kami, bukan sahaja dari segi sokongan moral tetapi juga hadir dan membantu beli barang kelab kerana itu sahaja yang boleh membantu kami menjana pendapatan.

"Bagi saya dengan kekangan ataupun kurangnya sokongan kewangan ini, kami harap dan kami merayu kepada peminat supaya memberi sokongan penuh kepada usaha menaikkan semula pasukan Perak FC ini," katanya.

Sementara itu, Choo Seong berkata, peminat boleh menebus mana-mana tiket perlawanan sebelum ini bagi menonton aksi Perak FC menentang JDT pada perlawanan tertunda yang dijadualkan itu.

Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan MFL mengumumkan tarikh perlawanan Liga Super, Perak FC dan JDT yang ditunda sebelum ini akan berlangsung di Stadium MPM pada jam 5 petang, 10 November.

Sebagai rekod, perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober lalu ditangguhkan komisioner perlawanan berikutan keadaan padang di Stadium Perak, Ipoh yang tidak sesuai digunakan akibat hujan lebat sebelum sepak mula jam 8.15 malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!