'Premis GISBH di Kelantan sudah mula kosong sejak dua minggu lalu'
KOTA BHARU - Premis dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di beberapa lokasi di negeri ini didakwa sudah mula dikosongkan sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Sinar Harian di jajaran kedai milik syarikat tersebut di Pengkalan Chepa mendapati keadaan pintu tertutup dan berkunci selain tiada kelihatan sosok pekerja serta keadaan luar kedai yang bersepah.
Seorang penduduk, Wan Nurhayati Wan Abdullah, 44, berkata, dia ada melihat kehadiran lori dan beberapa individu mengangkat barangan dari dalam lot kedai runcit, butik pakaian wanita, kedai makanan sejuk beku serta restoran milik syarikat tersebut dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
“Sebelum ini ada meja dan kerusi makan di luar kedai tersebut, tetapi kini sudah tidak ada kerana diangkut tetapi tidak tahu pula ke mana mereka membawanya.
“Papan tanda kedai juga sudah diturunkan dan premis tersebut tidak beroperasi sejak tiga minggu lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Selasa.
Menurutnya, selepas kecoh kontroversi dan pendedahan dakwaan eksploitasi manusia melibatkan syarikat itu, pihak terbabit masih lagi meneruskan perniagaan dalam tempoh seminggu.
“Lebih 20 tahun lepas, kedai-kedai mereka di Pengkalan Chepa ini sudah wujud dan beroperasi dengan menjual pelbagai barangan seperti ayam dan bawang.
“Saya sendiri kerap membeli sarapan pagi iaitu roti canai di restoran mereka selain ada nasi air aneka lauk,” katanya.
Sementara itu, pemerhatian Sinar Harian di sebuah lagi restoran di Jalan Long Yunus juga mendapati ia dalam keadaan sama, sudah ditutup dan diturunkan papan tanda nama kedai kecuali bakeri yang masih mempunyai papan tanda namun pintu bertutup serta tidak beroperasi.
Sebuah hotel bersebelahan restoran tersebut yang sebelum ini mempunyai papan tanda tertera tulisan GISBH kini sudah ditukarkan dengan nama yang lain.
Pertukaran itu dipercayai dilakukan pada 17 September lalu berdasarkan temu bual dengan seorang pekerja kedai berhampiran.
Dalam pada itu, seorang pesara, Che Ismail Che Leh, 59, yang ditemui berkata, sebuah perkampungan dipercayai berkait dengan GISBH di Kampung Kulim, Pasir Puteh juga sudah dikosongkan.
“Sebelum ini, tempat itu ada ramai penghuni dalam kalangan mereka.
“Kini, sunyi sepi dan penduduk pun tidak pernah masuk ke kawasan itu lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!