Dekatkan diri dengan Tuhan perbaiki nilai integriti dalam diri

(Dari kanan) Ishak; Mohamad Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif SMART College, Alexander David Pon; Ketua Jabatan Penyiasatan dan Jenayah, B Sevakumar; Nurhayati dan Penasihat Industri Fakulti Penyiasatan dan Jenayah, V Vignesvaran bergambar selepas Forum Integriti pada Selasa.
(Dari kanan) Ishak; Mohamad Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif SMART College, Alexander David Pon; Ketua Jabatan Penyiasatan dan Jenayah, B Sevakumar; Nurhayati dan Penasihat Industri Fakulti Penyiasatan dan Jenayah, V Vignesvaran bergambar selepas Forum Integriti pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang terlibat dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa perlu mendekatkan diri dengan Tuhan bagi memperbaiki diri menjadi insan yang mempunyai nilai integriti.

Ketua Unit Integriti Yayasan Selangor, Mohamad Fauzi Ismail berkata, fitrah asal manusia adalah suci daripada pengaruh dan tingkah laku negatif sebelum dicemari dengan persekitaran luar.

"Integriti ini lebih kepada kita mengenal diri sendiri. Kalau dalam kaedah atau konsep agama, jika anda kenal Tuhan, anda kenal diri sendiri.

Mohamad Fauzi
Mohamad Fauzi

"Contohnya, permainan dalam talian di mana kita rasa kita 'masuk' ke dalam dunia itu dan sebenarnya ia merupakan minda kita yang dirampas dalam permainan berkenaan.

"Begitu juga dengan integriti apabila kita terperangkap dalam rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan adalah kerana minda kita dirampas dengan keinginan mahu capai dan raih kehidupan mewah.

"Situasi seperti itulah akan menutup jiwa kita yang sebenar dan akhirnya kita mencari ruang serta peluang untuk terlibat atau terjebak dengan kegiatan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Forum Integriti sempena Bulan Integriti anjuran Fakulti Penyiasatan Jenayah dan Hal Ehwal Pelajar di SMART College, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Antara panelis lain yang terlibat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan Naib Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Ishak Abu Bakar.

Mengulas lanjut beliau berkata, jiwa, minda dan badan yang telah terlibat atau terpengaruh dengan korupsi dan salah guna kuasa adalah hipokrit.

"Apabila diri sebenar penuh dengan sifat integriti yang sudah 'dirampas'... kita kena kembali kepada fitrah asal bagi membina semula keutuhan diri (integriti) untuk hindar rasuah.

"Sekarang banyak polisi dan peraturan, itu sudah baik tapi tidak memberi kesedaran sepenuhnya walaupun ditangkap dan dihukum tetapi itu tidak mendidik individu terlibat untuk tidak melakukan rasuah.

"Justeru, individu yang sudah mula hilang jiwa sebenar perlu kembali dan kenali diri, kenali Tuhan untuk memperbaiki nilai integriti dalam diri mereka," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!