GP Malaysia: SIC sahkan pelumba negara beraksi tiket 'wildcard'

SIC mengesahkan pelumba negara akan beraksi menerusi wildcard dalam Kejuaraan Motosikal Dunia GP Malaysia pada 1 hingga 3 November ini. Foto hiasan
SIC mengesahkan pelumba negara akan beraksi menerusi wildcard dalam Kejuaraan Motosikal Dunia GP Malaysia pada 1 hingga 3 November ini. Foto hiasan
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif mengesahkan pelumba negara akan beraksi menerusi tiket peluang khas (wildcard) dalam Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Malaysia pada 1 hingga 3 November ini.

Beliau berkata, butiran mengenai jumlah pelumba dan kelas bakal disertai akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pihak penaja korporat.

"Saya difahamkan pelumba terlibat sedang membuat persiapan, insya-ALLAH seawal minggu depan atau dua minggu lagi akan ada pengumuman. Bukan dalam kelas utama (MotoGP), mungkin dalam kelas Moto2 atau Moto3,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas pengumuman kerjasama strategik sebanyak RM500,000 bersama Tourism Selangor bagi GP Malaysia kali ini sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Pada tahun lepas, Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar diberikan tiket peluang khas mewakili pasukan Petronas MIE Racing RW manakala Muhammad Syarifuddin Azman atau Damok berlumba sepenuh musim bersama pasukan MT Helmets-MSi.

Ditanya mengenai penjualan tiket, Azhan Shafriman berkata, setakat ini sebanyak 70 hingga 80 peratus tiket sudah dijual, dengan pihaknya akan meneruskan usaha mencapai sasaran 200,000 penonton untuk hujung minggu perlumbaankali ini berbanding 182,912 pada 2023.

Sementara itu, beliau berkata, SIC menjalankan penambahbaikan di Main Grandstand dan North Paddock dengan kos lebih kurang RM12 juta menerusi geran daripada kerajaan pusat.

"Ia termasuk memperbaiki sistem pembetungan kita kerana perpaipan itu tak pernah tukar sejak 1999.

Artikel Berkaitan:

"Bagi trek, kita hanya buat Misano kerb di turn 15 untuk mematuhi syarat perlumbaan diperkenalkan bagi menjaga had trek. Kita akan tinggikan kerb ke tahap tertentu, supaya motosikal tidak melepasi kerb tersebut,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!