[VIDEO] Wujud elemen jenayah dalam nahas pelajar UiTM - Polis

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis mengesahkan wujud elemen jenayah dalam nahas membabitkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun dan seorang cedera akibat dirempuh sebuah Honda CRV dipandu seorang wanita dalam kejadian Rabu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, faktor berkenaan menyebabkan wanita terbabit didakwa atas pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh berbanding pendakwaan bawah kesalahan trafik.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Gambar kecil: Mohd Khairi
Sinar Harian sebelum ini melaporkan wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Gambar kecil: Mohd Khairi

Menurutnya, tindakan undang-undang dan pertuduhan dibuat ke atas wanita itu berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh sepanjang siasatan.

"Kita menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa wanita terbabit di bawah pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan berbanding pertuduhan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pada hari ini wanita terbabit telah dituduh dengan tiga pertuduhan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) di Mahkamah Majistret Dungun dan satu pertuduhan bawah Seksyen 307 (1) KK di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

"Pihak mahkamah juga telah mengarahkan wanita itu menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai Johor Bahru," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Selasa.

Mohd Khairi berkata, setakat ini wanita itu juga tidak memiliki rekod kesihatan yang mengesahkan dia mengalami masalah mental selain tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Atas beberapa faktor itu, AGC mengarahkan suspek dituduh bawah Seksyen 302 KK dengan mengambil kira lokasi kejadian, mungkin ada berlakunya rempuhan yang mana suspek mungkin dalam keadaan sedar, (namun) tidak memberhentikan kenderaan (dan) telah menyeret mangsa sehingga melebihi 100 meter di mana wujud unsur-unsur pembunuhan," katanya.

Mohd Khairi berkata, pihaknya turut memanggil seramai 11 saksi termasuk yang melihat kejadian dan ahli keluarga kepada wanita terbabit bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, katanya, orang ramai diminta agar menghentikan sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

"Hentikan komen-komen negatif dan menyebarkan sebarang gambar serta video berkaitan insiden berkenaan untuk menjaga sensitiviti semua pihak," ujarnya.

Dalam kejadian pada 9 Oktober lalu, kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu Norizan Ismail, 49, telah merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.

Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Seorang lagi mangsa yang cedera iaitu penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20 yang sebelum ini dirawat di Hospital Dungun dan telah dibenarkan pulang Ahad lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!