Ibu bapa 'role model' pertama pupuk nilai integriti anak
KUALA LUMPUR - Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk nilai integriti ke dalam diri anak supaya tidak menjadi faktor kepada penglibatan salah laku rasuah pada masa hadapan.
Naib Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Ishak Abu Bakar berkata, ia dilihat menerusi konteks kekeluargaan di mana ibu bapa boleh mengambil inspirasi daripada sifat mulia Rasulullah SAW.
"Sifat tersebut ialah siddiq, amanah, fatonah dan ihsan. Dengan mencontohi sifat berkenaan ini, ibu bapa dapat membentuk peribadi yang baik dalam diri anak-anak.
"Ia bukan hanya akan membantu anak-anak menjadi individu berintegriti, tetapi juga memberi panduan moral yang kukuh sepanjang hidup mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Forum Integriti sempena Bulan Integriti anjuran Fakulti Penyiasatan Jenayah dan Hal Ehwal Pelajar di SMART College di sini pada Selasa.
Antara panelis lain yang terlibat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan Ketua Unit Integriti Yayasan Selangor, Mohamad Fauzi Ismail.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pupuk nilai integriti dalam keluarga sangat penting kerana ia menjadi ukuran nilai moral bagi sebuah keluarga itu.
"Memang besar peranan ibu bapa, lebih-lebih lagi seorang ayah yang bertanggungjawab sebagai ketua keluarga.
"Dia perlu pikul amanah dengan memastikan semua ahli berada dalam keadaan baik dan tidak lepas tangan.
"Bermula dengan mengamalkan sikap jujur, bertanggungjawab, mampu menilai baik dan buruk serta bercakap perkara benar merupakan kaedah yang boleh dilakukan" ujarnya.
Tambah beliau, antara peranan ibu bapa dalam membentuk nilai positif dalam diri anak-anak adalah dengan mengakui kesilapan dilakukan kerana ini akan menunjukkan nilai rendah diri dan memberi contoh yang baik.
Menurutnya, penting bagi ibu bapa untuk menghormati anak-anak termasuk menghargai usaha seperti menolong melakukan kerja rumah.
"Penghargaan kecil dapat memberikan motivasi dan membina semangat positif di kalangan anak-anak.
"Kata-kata atau ungkapan positif dan sokongan daripada ibu bapa juga diakui sebagai faktor penting dalam membentuk karakter dan nilai integriti anak-anak di rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!