Tanah runtuh: Lereng bukit Taman Melawati ditutup dengan kanvas
AMPANG - Kawasan kejadian tanah runtuh di lereng bukit Taman Melawati di sini akan ditutup dengan kanvas serta-merta bagi meminimumkan pergerakan dan hakisan akibat hujan lebat.
Berdasarkan pemantauan terkini oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) pergerakan tanah dikesan masih berlaku di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kanvas yang akan dipasang berukuran 30 meter lebar dan 18 meter panjang.
"Proses pemasangan kanvas itu akan dilaksanakan pada hari ini (Selasa) juga selepas hujan lebat.
"Esok, pihak JMG dan JKR akan sekali lagi melakukan kajian kedua bagi memastikan sama ada kawasan runtuhan selamat atau tidak sebelum sesuatu keputusan untuk tindakan susulan diambil," katanya dalam sidang akhbar di lokasi tanah runtuh.
Kejadian tanah runtuh berlaku di sebuah bukit di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati, sekitar jam 10.30 pagi Selasa, akibat hujan lebat berterusan sejak jam 9 pagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azam berkata, semua penduduk dibenarkan untuk mengambil barang dari rumah mereka namun tidak dibenarkan untuk bermalam.
"Disebabkan adanya pergerakan tanah hingga menyebabkan risiko, kita hanya membenarkan penghuni yang mendiami 16 daripada 20 unit kediaman rumah teres di Jalan E6 untuk mengambil barang penting.
"Berdasarkan permintaan penduduk, mereka meminta untuk ditempatkan di Dewan Orang Ramai berhampiran kediaman mereka berbanding di lokasi yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebelum ini iaitu di Dewan Serbaguna Taman Keramat," katanya.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 80 peratus kesan akibat runtuhan sudah dibersihkan oleh pihak JKR dan MPAJ.
"Kerja-kerja pembersihan dijangka selesai sepenuhnya hari ini bagi membolehkan laluan digunakan untuk sebahagian penduduk," katanya.
Kejadian runtuhan yang berlaku itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa sebaliknya menyebabkan sebuah kenderaan di Jalan E6 serta sebuah kabin pengawal keselamatan mengalami kerosakan.
Bomba guna kaedah 'drain clearance' dari atas bukit di lokasi tanah runtuh Taman Melawati
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melakukan kaedah pembersihan dari atas bukit bagi melancarkan pergerakan air di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, di sini.
Ketua Zon Empat Hulu Langat JBPM, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, kaedah itu digunakan untuk mencuci longkang dari atas bukit yang tersumbat dengan batu, kayu dan tanah hingga menyebabkan air bertakung sekali gus mengakibatkan pergerakan tanah.
"Kita mengenal pasti laluan air di dalam longkang tersumbat dari atas cerun bukit berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini, pada Selasa.
Shahrin Yusmar berkata, dalam proses itu bomba melepaskan air bertekanan tinggi untuk memecahkan objek-objek keras yang tersumbat di longkang pada bahagian atas bukit untuk mengurangkan impak tanah runtuh dan hakisan tanah.
"Terdapat batu dan kayu di dalam longkang sehingga mengakibatkan ia tersumbat dan berlaku pergerakan tanah," katanya.
Shahrin Yusmar berkata, pihaknya telah mencuci dan mengalihkan saliran air ke longkang bersebelahan untuk melancarkan pergerakan air dari atas bukit.
"Ia tindakan awal untuk meminumkan pergerakan tanah, selain itu dapat mengurangkan beban longkang berkenaan," katanya.
Beliau berkata, kaedah sama akan digunakan semula sekiranya saliran air tidak lancar susulan hujan lebat petang Selasa.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada jam 10.30 pagi tadi akibat hujan lebat berterusan sejak jam 9 pagi.
Kejadian mengakibatkan tanah runtuh menutupi Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati sehingga memaksa penghuni di 16 daripada 20 kediaman dipindahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!