Kawal diri, pertingkat integriti dalam norma baharu bersosial
KUALA LUMPUR - Individu terutamanya remaja perlu mengawal dan meningkatkan nilai integriti dalam diri bagi menghadapi norma baharu untuk bersosial.
Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nurdin berkata, peredaran zaman dan kecanggihan teknologi membawa perubahan dalam kehidupan bersosial kepada norma baharu iaitu menerusi media sosial.
"Pertama, mereka perlu ada rasa hormat yang tinggi ketika menggunakan media sosial untuk berhubung atau mendapatkan maklumat. Contoh di Instagram atau Facebook, kita akan lihat ada kisah sedih atau ada individu menari tanpa tahu punca.
"Bila berada dalam situasi ini, jangan terus berikan komen berdasarkan andaian sendiri. Kita perlu hormati apa sahaja yang kita nampk dalam media sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Forum Integriti sempena Bulan Integriti anjuran Fakulti Penyiasatan Jenayah dan Hal Ehwal Pelajar di SMART College, di sini pada Selasa.
Antara panelis lain yang terlibat ialah Ketua Unit Integriti Yayasan Selangor, Mohamad Fauzi Ismail dan Naib Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Ishak Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Nurhayati memaklumkan, aspek kedua yang perlu diamalkan adalah kekal relevan ketika bersosial dengan meletakkan sempadan dalam menerima atau mengakses sesuatu maklumat.
"Saya nak mengajak semua, kita perlu bina satu sempadan dengan menjadikan yang tidak baik sebagai sempadan, manakala yang baik, jadikan teladan.
"Jadi, sempadan yang dibina ini bukan menyekat kita untuk pergi lebih jauh tetapi bagi membentuk satu daya tahan diri dalam menghadapi dunia sosial baru yang merupakan norma baru ini," jelasnya.
Tambah beliau, aspek ketiga adalah bertanggungjawab dengan kaedah yang digunakan dalam bersosial secara dalam talian terutamanya pempengaruh.
Ujarnya, individu itu perlu meninggalkan kesan data atau maklumat dihasilkan daripada aktiviti dalam talian yang memberi kebaikan kepada orang sekeliling pada masa sekarang dan masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!