P Diddy berdepan enam saman berkaitan penderaan seksual
NEW YORK - Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat (AS), Sean John Combs atau lebih dikenali sebagai P Diddy berdepan enam tuntutan undang-undang baharu berkaitan penderaan seksual termasuk serangan ke atas golongan bawah umur.
Saman sivil itu difailkan sebulan selepas penerbit muzik kontroversi itu didakwa dengan pertuduhan jenayah termasuk pemerdagangan seks sejak lebih sedekad lalu.
Diddy menafikan salah laku dalam kes sivil lain dan mengaku tidak bersalah terhadap kes jenayah yang dikemukakan terhadapnya.
“Selama lebih 10 tahun, Diddy didakwa melakukan serangan seksual termasuk memaksa lelaki dan wanita serta golongan bawah umur untuk memenuhi kepuasan seksualnya, selain menyembunyikan perbuatan menjijikkan itu di sebalik imejnya sebagai selebriti,” menurut kandungan salah satu tuntutan undang-undang yang difailkan oleh plaintif.
Dokumen tersebut turut mendedahkan perbuatan cabul yang dilakukan Diddy terhadap mangsa berumur 16 tahun ketika berparti di rumah agam miliknya pada 1998.
Tuntutan itu dikemukakan peguam Tony Buzbee, mewakili 120 individu yang menjadi mangsa keganasan seksual Diddy. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!