Penduduk Gaza terbakar hidup-hidup

Sekumpulan individu cuba mengawal api yang merebak dengan cepat. - Foto Agensi
Sekumpulan individu cuba mengawal api yang merebak dengan cepat. - Foto Agensi
A
A
A

GENTING GAZA - Rejim Zionis sekali lagi melakukan kezaliman dengan membedil khemah sementara yang menempatkan penduduk Palestin di Hospital al-Aqsa di tengah Genting Gaza.

Agensi berita Wafa melaporkan serangan yang mencetuskan kebakaran dahsyat di Deir al-Balah itu turut meragut empat nyawa manakala kira-kira 70 yang lain cedera.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial turut memaparkan seluruh khemah musnah dijilat api dan sekumpulan individu cuba mengawal kebakaran tersebut.

“Saya sedang tidur di bangunan berhampiran yang terletak sejauh kira-kira 300 meter dan dikejutkan dengan bunyi seperti letupan bom.

“Saya bergegas ke al-Aqsa dan melihat api menjulang setinggi 10 hingga 15 meter dan berlaku beberapa letupan disebabkan kanister gas milik komuniti yang berlindung di sana. Ia terus merebak dengan cepat,” kata Bilal Ezzat Khudari yang turut menyaksikan beberapa mangsa terbakar hidup-hidup hingga rentung.

Difahamkan, ia adalah serangan ketujuh ke atas al-Aqsa sejak setahun lalu setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sekali lagi mendakwa kompleks itu kononnya menjadi markas gerakan Hamas.

Mahmoud Wahi yang merupakan antara mangsa terselamat menyangkal tuduhan tidak berasas sedemikian.

“Ia jelas satu alasan tidak munasabah. Hanya orang awam yang berlindung di sini. Ada juga anak saudara saya berusia dua tahun yang cedera dan berlindung di al-Aqsa. Adakah dia juga dianggap sebagai pejuang Hamas?” sindirnya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, Zionis terus memperhebatkan serangan ke atas kem pelarian Jabalia di utara Gaza yang dikepung sejak 10 hari lalu yang turut menyaksikan 10 terkorban selepas pusat pengagihan makanan dibedil bertalu-talu. - Agensi

A post shared by Sinar Harian (@sinarharian)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!