KFA sedia bantu KDA FC, Sanusi minta datang bincang

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

KERAJAAN Kedah akan mempertimbangkan untuk membantu pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang masih berdepan kemelut tunggakan gaji yang didakwa memasuki tujuh bulan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun sebarang bentuk bantuan perlu disalurkan menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya meminta pengurusan KDA FC mengadakan pertemuan dengan KFA bagi membincangkan perkara itu.

“Kerajaan negeri kena salurkan (bantuan) menerusi KFA, KFA akan tolong, kita tak boleh buat secara langsung dengan syarikat swasta (yang uruskan KDA FC).

“Apa-apa yang boleh kita bantu, kita tengok nanti... minta mereka hubungi KFA,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis penyampaian Tabung Wanita Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon pada Selasa.

Sanusi yang juga Presiden KFA turut bersimpati dengan nasib pasukan dan pemain yang kini dilihat terumbang-ambing.

“Saya simpati, minta mereka hubungi KFA dan kita bawa dalam mesyuarat KFA untuk bincang apa yang boleh kita bantu,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial pemain KDA FC kembali memboikot latihan selepas tiada langkah proaktif diambil pihak pengurusan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Artikel Berkaitan:

KDA FC sebelum ini terpaksa menggunakan tenaga pemain bawah 23 tahun untuk menentang skuad Kuala Lumpur City selepas semua pemain skuad utama tidak beraksi dan mereka tewas 5-0.

Selepas itu pemain utama dilihat turun beberapa hari sebelum aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC dan mereka berjaya mengikat pasukan lawan 2-2 di Alor Setar.

Mereka kini masih turun menjalani latihan bagi persediaan aksi Liga Super seterusnya menentang Terengganu FC pada 19 Oktober biarpun masih berdepan masalah tunggakan gaji sehingga kini.

Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan dalam pengurusan KDA FC selepas pasukan berkenaan diubah status kepada pasukan kelab.

“Ia urusan syarikat swasta yang kendalikan KDA FC. Saya hanya boleh pertimbangkan untuk campur tangan atau tidak, setakat ini tiada pemain datang jumpa saya. Mereka hanya luah melalui media saja,” jelasnya.

Menurutnya, beliau juga ada berjumpa dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar namun tidak memperincikan butiran tersebut.

“Ada lah Tan Sri hubungi dua tiga bulan lepas dan selalu pun jumpa. Tambahan pula kita masih ada komitmen lama yang ditanggung ketika terajui KFA sebelum ini, KFA masih tanggung bayaran ansuran hutang lama dengan badan berkanun.

“KFA masih bayar untuk lesen 2024 pun KFA ada bantu,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!